KUALA LUMPUR: Sabah melaporkan 2,052 kes positif COVID-19 pada Khamis sekali gus angka tertinggi sejak pandemik COVID-19 melanda negara tahun lalu.

Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan ini disumbang menerusi penularan kes di sebuah pelantar minyak dan tapak binaan di Kota Kinabalu.

Ujarnya, 209 kes dikesan di pelantar tersebut dan 109 kes di tapak binaan Hyaat Centric di daerah tersebut.

‘’Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi dalam tempoh sehari dengan 635 kes dilaporkan pada hari ini.

“209 kes dikesan di sebuah pelantar manakala 109 melibatkan pekerja tapak binaan Hyatt Centric berhadapan Suria Sabah melibatkan pekerja tempatan serta warga Cina dan Filipina,’’ katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beberapa daerah lain turut melaporkan kes tiga positif tiga angka termasuk 221 kes di Penampang, Tawau (178), Tuaran (126) dan Keningau (103).

‘’914 kes melibatkan saringan kontak rapat, 440 menerusi saringan bergejala, 91 kes dikesan menerusi kluster sedia ada, 71 daripada saringan bersasar dan 296 dari kategori lain.

‘’Antara lain 1634 kes melibatkan kategori satu dan dua, 22 kes melibatkan kategori tiga, enam kes kategori empat, dua kes kategori lima dan 388 kes masih dalam siasatan,’’ tambahnya.

Sabah secara konsisten terus merekodkan kes positif empat angka sejak dua minggu lalu sekali gus merekodkan jumlah kumulatif kepada 100,031 kes.