COVID-19: 16 rakyat Malaysia terkandas di Brazil dalam perjalanan pulang ke tanah air
Bernama
Mac 23, 2020 20:37 MYT
Mac 23, 2020 20:37 MYT
Sejumlah 16 pelancong rakyat Malaysia yang menaiki kapal pesiaran L'Austral menghala ke Antartika akhirnya mampu menarik nafas lega kerana mereka kini dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas beberapa jam terkandas di Pelabuhan Rio de Janeiro, Brazil pada pagi Ahad.
Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Brasilia Norliyana Alias mengesahkan bahawa kumpulan pelancong terbabit telah turun dari kapal pesiaran yang berpangkalan di Perancis itu pada malam Ahad.
"Mereka sudah berlepas dari Lapangan Terbang Rio de Janeiro dan penerbangan itu mengalami kelewatan selama 30 minit," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Terdahulu, Norliyana dilaporkan sebagai berkata bahawa kumpulan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa pukul 2.35 petang waktu Malaysia setelah berlepas dari Lapangan Terbang Rio de Janeiro hari ini pada 2.35 pagi waktu tempatan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif merangkap pengarah pelancongan Apple Vacations Sdn Bhd Datuk Seri Lee Ee Hoe berkata penerbangan mereka akan transit di Dubai terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan untuk pulang ke tanah air.
"Kami telah mendaftar masuk bagi penerbangan ke Dubai, kemudian Kuala Lumpur," katanya kepada Bernama dalam mesej ringkas melalui aplikasi WhatsApp.
Kumpulan itu, bersama-sama 325 penumpang pelbagai negara, telah terkandas di Lautan Atlantik Selatan selepas kapal pesiaran dinaiki mereka, yang belayar dari Pelabuhan Ushuaia, Argentina pada 28 Feb gagal berlabuh di Montevideo, Uruguay pada 13 Mac selepas negara itu mengumumkan sekatan perjalanan keluar masuk bagi membendung pandemik COVID-19.
Kapal pesiaran itu kemudian meneruskan perjalanan ke pelabuhan Buenos Aires, Argentina dan dijadual menurunkan penumpangnya pada 16 Mac namun pengumuman berkaitan sekatan keluar masuk telah dibuat oleh kerajaan negara tersebut sejam selepas kapal itu belayar.
Lee mengesahkan bahawa anggota kumpulan itu masih kekal bersemangat dan mereka dalam keadaan sihat.
Lebih penting, kesemuanya, termasuk penumpang lain kapal pesiaran itu, adalah bebas daripada jangkitan COVID-19, katanya.
Lee dan anggota lain kumpulan itu bersyukur menerima bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Brasilia dan menghargai usaha pihak itu yang bertungkus-lumus memastikan mereka dapat pulang ke tanah air.
-- BERNAMA
#Antartika
#COVID-19
#kapal pesiaran L'Austral
#koronavirus
#Norliyana Alias
#Pelabuhan Rio de Janeiro
#pelancong
#rakyat Malaysia
#Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia