COVID-19: 125 kes positif baharu dikesan, 95 berkait kluster tabligh - Dr Adham

Firdaus Azil
Mac 16, 2020 17:28 MYT
95 daripada 125 kes ini berkaitan kes kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling. - Gambar fail
Sebanyak 125 kes baharu positif COVID-19 telah dicatat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 553 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dalam sidang media harian hari ini, Ahli Parlimen Tenggara itu berkata, berdasarkan siasatan awal, 95 kes daripada 125 kes baharu dikesan berkait dengan dengan kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.
Selain itu, Dr Adham berkata, Malaysia kini sudah memasuki tahap pembendungan akhir (late containment), bertujuan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 menjadi lebih serius di negara ini.
"Di Malaysia, didapati terdapat pertambahan kes COVID-19 yang ketara sepanjang minggu lepas. Mengambil kira situasi terkini, KKM ingin memaklumkan KKM telah memasuki tapah pembendungan akhir,” katanya lagi.
Katanya, ia bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19 daripada menjadi lebih serius.
Selain itu, Dr Adham juga memberitahu, KKM kini sedang membuat persiapan untuk memasuki tahap mitigasi.
Antara langkah yang akan diambil ialah:
1. Menjadikan Hospital Sg Buloh sebagai "admitting hospital".
2. Meningkatkan kapasiti, kapabiliti makmal.
3. Kenal pasti pusat kuarantin di seluruh negara.
4. Kerjasama awam swasta
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, susulan permintaan pihak berkuat kuasa secara berterusan, termasuk dari ketua jemaah tabligh di Sri Petaling, Mansur Ismail, lebih 7,000 daripada keseluruhan yang hadir ke perhimpunan itu sudah tampil untuk menjalani ujian saringan.

[Terkini] Menteri Kesihatan Dr Adham mengesahkan Malaysia kini sudah memasuki tahap pembendungan akhir (late containment). Ia bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19 menjadi lebih serius, katanya lagi. @501Awani https://t.co/5dsZgjcrO8

— Initial: FA (@FirdausAzil) March 16, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#COVID-19 #Dr Adham Baba #Kementerian Kesihatan #KKM #koronavirus #tabligh
;