COVID-19: 12,885 penduduk Kota Setar telah disaring

Abd Hadi Che Awang
September 15, 2020 17:53 MYT
Jabatan itu turut menasihati masyarakat agar melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam memerangi penularan wabak. -Bernama
Setamai 12,885 penduduk di daerah Kota Setar telah menjalani saringan COVID-19 sepanjang empat hari perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat secara Pentadbiran (TEMCO) di daerah itu yang bermula pada Jumaat.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang menjelaskan kesemua yang disaring adalah merupakan kontak rapat kepada kes positif bagi Kluster Telaga dan Kluster Sungai selain individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti.
"Dianggarkan 15,000 hingga 20,000 penduduk di daerah ini akan disaring dalam tempoh TEMCO ini dan sekiranya ada kes positif baharu, saringan akan diteruskan.
"Keputusan saringan ini akan diketahui dalam tempoh 72 jam dan penduduk yang didapati positif akan dihubungi oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jabatan itu turut menasihati masyarakat agar melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam memerangi penularan wabak, khususnya menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Kebanyakan kes jangkitan COVID-19 berlaku akibat kelalaian masyarakat mengenai amalan normal baharu yang disarankan, jadi semua perlu patuh dengan SOP yang telah ditetapkan," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai COVID-19 boleh merujuk kepada Bilik Gerakan PKD Kota Setar dengan menghubungi talian 019-4053711.
#COVID-19 #Hospital #Kedah #kes positif #kesihatan #koronavirus #Kota Setar #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan diperketat #PKPD #SOP #TEMCO
;