COVID-19: 11 kematian baharu direkod, 5 BID

Astro Awani
Februari 13, 2022 07:38 MYT
Sebanyak 6,292 kes dirawat di hospital dan 187 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 11 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,125 orang, daripada 3.01 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, lima daripada 11 kes kematian yang dilaporkan itu berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 155,673 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 143,076 individu atau 91.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 6,118 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 6,292 kes dirawat di hospital dan 187 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 78 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 109 lagi memerlukan mesin ventilator.
#Kematian baharu #bid #COVID-19 #COVIDNOW
;