COVID-19: 11 kematian, 1,075 jangkitan baharu, Lembah Klang 508 kes
Hilmi Malik
Disember 3, 2020 18:21 MYT
Disember 3, 2020 18:21 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan sebanyak 11 kematian baharu akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini adalah sebanyak 376.
Daripada jumlah kematian tersebut, lima kes daripadanya dicatatkan di Hospital Sungai Buloh, dua kes di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang Johor, dua kes (Hospital Duchess Of Kent, Sabah), dan bakinya masing-masing di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa sama melaporkan sebanyak 1,075 kes harian COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan jumlah kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 69,095 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak tiga kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara.
“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini menjadi 10,802 kes ,” katanya dalam satu kenyataannya pada Khamis.
Sementara itu, Lembah Klang mencatatkan angka tertinggi penularan COVID-19 iaitu sebanyak 508 kes dan daripada jumlah itu Selangor melaporkan 459 dan ini diikuti Sabah sebanyak 310 kes.
Setakat ini, 116 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 46 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Dalam pada itu, jumlah kes pulih terus catat pertambahan dengan sebanyak 948 kes sembuh menjadikan keseluruhan kes sembuh akibat COVID-19 kini 57,917 kes.
#COVID-19
#11 kematian
#jangkitan baharu
#kes import
#Kementerian Kesihatan
#Dr Noor Hisham Abdullah