COVID-19: 10 pekerja positif, kilang papan lapis dikenakan PKPD
Adie Sufian Zulkefli
Jun 26, 2021 15:50 MYT
Jun 26, 2021 15:50 MYT
POKOK SENA: Sebuah kilang papan lapis di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 9 Julai depan selepas 10 pekerja didapati positif COVID-19.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, PKPD itu turut melibatkan dua blok bangunan asrama yang menempatkan 1,000 pekerja.
Sehubungan itu, beliau berkata, 40 anggota polis akan ditempatkan di dua pos kawalan yang dibuka di hadapan pintu kilang bagi mengawal pergerakan keluar masuk.
"Kawasan kilang ini dan ada dua blok asrama yang menempatkan 300 orang lebih pekerja dan di sebelah dalam ada lagi tujuh blok pekerja yang menempatkan 700 ratus lebih pekerja.
"Jadi sepanjang PKPD ini, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan saringan ke atas pekerja-pekerja ini sehinggalah semua pekerja pekerja yang disyaki terjangkit dengan virus ini selesai," katanya kepada media selepas meninjau persiapan hari pertama pelaksanaan PKPD di kawasan kilang terbabit pada Sabtu.
Selain pekerja dalam asrama, pihak KKM juga akan melakukan ujian saringan terhadap pekerja yang menetap di luar.
Kilang tersebut mempunyai seramai 1,376 pekerja terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Vietnam, Indonesia dan Kemboja.