COVID-19: 10,177 kes baharu, 99.38% kategori 1 dan 2
Astro Awani
April 10, 2022 10:35 MYT
April 10, 2022 10:35 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 10,177 kes baharu COVID-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini sebanyak 4.31 juta.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, 10,114 kes (99.38%) adalah dalam kategori satu dan dua.
Manakala 63 kes (0.62%) lagi dalam kategori tiga, empat dan lima.
Sebanyak 195 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 108 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 15,132.
Semalam, dua kluster baharu direkodkan, dengan 129 kluster masih aktif.
Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau R0) COVID-19 di seluruh negara ketika ini adalah 0.83, dengan Selangor mencatatkan bacaan tertinggi pada 0.93.