COVID-19: 1,772 kes baharu, 696 kes di Kuala Lumpur

Harits Asyraf Hasnan
Disember 15, 2020 10:14 MYT
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media menyatakan jumlah kes positif COVID-19 kini adalah sebanyak 86,618 kes. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sejumlah 1,772 kes baharu COVID-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media menyatakan jumlah kes positif COVID-19 kini adalah sebanyak 86,618 kes.
Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 14,515 kes.
"Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 696 kes (39.3 peratus) di mana 567 kes (81.5 peratus) adalah dari Kluster Tapak Bina Damanlela yang melibatkan generasi kelima dan keenam.
"Pelaporan kes kedua tertinggi mengikut negeri ini adalah dari negeri Selangor sebanyak 503 kes (28.4 peratus) dan diikuti dengan Sabah sebanyak 260 kes (14.7 peratus).
"Sebanyak 120 kes (6.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (99 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (15 kes), dan Kluster Bakti (6 kes)," memetik kenyataan itu.
Tambahnya, sehingga kini, terdapat 118 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 56 kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 422 kes iaitu 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, bilangan kes sembuh hari adalah sebanyak 1,084 kes sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 71,681 kes.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #kes positif #COVID-19 #kesihatan #Noor Hisham Abdullah #Kuala Lumpur #KKM