COVID-19: 1,766 kes positif, 15 kes kategori 3,4 dan 5 di Sarawak

Syafik Shukri Jalil
September 23, 2021 18:02 MYT
18 lokaliti melibatkan 12 daerah di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 22 September 2021 sehingga 3 Oktober 2021. FOTO: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sarawak merekodkan pertambahan 1,766 kes positif COVID-19 dengan 15 kes atau 0.85 peratus merupakan kes kategori tiga, empat dan lima.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, 1,751 atau 99.15 peratus merupakan kes melibatkan kategori satu dan dua.
‘’768 kes atau 43.49 peratus melibatkan pesakit kategori satu dan 983 kes atau 55.66 peratus merupakan kategori dua.
‘’Enam kes dilaporkan atau 0.34 peratus merupakan kategori tiga, dua kes atau 0.11 peratus melibatkan kategori empat dan tujuh kes atau 0.04 peratus adalah kategori lima,’’ kata kenyataan itu.
Selain itu, 15 kes kematian dilaporkan oleh JPBN Sarawak dengan dua daripadanya merupakan kes yang dilaporkan pada Rabu (22 September 2021).
Manakala 13 kes kematian lagi merupakan kes kematian yang direkodkan bermula 17 September 2021 sehingga 21 September 2021.
Sementara itu, 18 lokaliti melibatkan 12 daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 22 September 2021 sehingga 3 Oktober 2021.
Ia termasuk Rumah Ambrose, Pakit A di Sri Aman, Rumah Agan, Mupoh Atas di Betong dan Rumah Regina, Sungai Kawan di Sarikei.
Antara lain dua lokaliti di Betong melibatkan Rumah Mau, Enteban Ulu dan Rumah Garak, Munggu Menggeris, Debak, dikenakan lanjutan PKPD bermula 24 September 2021 sehingga 3 Oktober 2021.
#COVID-19 di Sarawak #kategori kes di Sarawak #kes kematian COVID-19 #kawasan PKPD di Sarawak
;