COVID-19: 1,000 hingga 1,300 penduduk Hulu Langat positif setiap hari di CAC Kajang Utama
Fareez Azman
Julai 14, 2021 20:19 MYT
Julai 14, 2021 20:19 MYT
KUALA LUMPUR: Ribuan penduduk Hulu Langat hadir di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Komuniti Taman Kajang Utama setiap hari untuk menjalani proses penilaian.
Lebih meruntun jiwa, kanak-kanak serta bayi antara yang turut dibawa kerana dijangkiti COVID-19.
Tinjauan Astro AWANI dari pagi sehingga tengah hari Rabu mendapati, orang ramai telah mula beratur di luar dewan terbabit untuk dinilai tahap jangkitan mereka.
Sepanjang tinjauan itu juga, kelihatan beberapa individu yang dipakaikan topeng oksigen sebelum dibawa menaiki ambulans.
Kemungkinan besar tahap jangkitan pesakit itu berada pada tahap tiga ke atas sekali gus menyebabkan kesesakan nafas berlaku.
Tinjauan krew Astro AWANI hanyalah melalui dalam kenderaan kerana bimbang dengan ancaman jangkitan sekiranya turut sama berada di luar.
Sepanjang tiga jam melakukan tinjauan itu juga, dapat dilihat pada setiap minit ada sahaja penduduk yang dipakaikan gelang berwarna merah jambu di pergelangan tangan mereka sebelum beredar meninggalkan CAC itu.
Walaupun berdepan dengan jumlah penduduk yang ramai, namun petugas barisan hadapan begitu berdedikasi dan komited memberikan perkhidmatan terbaik untuk setiap pesakit.
Menurut Koordinator CAC Dewan Komuniti Taman Kajang Utama, Dr Brian Irvin Lopez, pusat itu merekodkan kehadiran lebih 1,000 pesakit positif COVID-19 setiap hari.
"Kebelakangan ini sejak dua tiga minggu lalu disebabkan kes (positif) sudah meningkat menyebabkan keadaan di sini agak huru-hara .
"Kita cuba mendapatkan pertolongan dari klinik kesihatan dan hospital berdekatan. Mereka hantar pegawai kesihatan ke CAC untuk tolong. Biasanya hari Isnin hingga Selasa, akan meningkat ke 1,000 ke 1,300 kes sehari.
"Setiap hari ada kategori 1,2,3 dan 4. Untuk minggu ini sahaja kita dah ada 20-24 kes kategori 4, kategori 1 lebih kurang 1,000 kes sehari," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Mengulas lanjut, jelas Dr Brian, kebanyakan pesakit terdiri daripada golongan yang datang dari kluster komuniti dan tempat kerja.
Jangkitan yang berpunca daripada dua kluster berkenaan turut melibatkan warga asing khususnya pekerja dari kilang-kilang berdekatan yang masih beroperasi.
Selangor mencatatkan kes tertinggi harian melepasi angka 5,000 kes sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, tinjauan di CAC Stadium Malawati, Shah Alam mendapati keadaan di sana agak terkawal serta tidak sesak seperti yang tular baru-baru ini.
Tinjauan Astro AWANI selama dua jam bermula pukul 10 pagi menyaksikan, kesibukan hanya pada sebelah pagi sahaja sebelum keadaan menjadi lengang sebaik memasuki waktu tengah hari.
Bahkan, sekitar pukul 11.30 pagi hingga 12 tengahari, hanya tiga atau empat buah khemah di bahagian hadapan sahaja dipenuhi pesakit, selebihnya kosong.
Keadaan yang lengang itu juga menyebabkan orang ramai berpeluang menunggu di dalam khemah dan dapat berlindung daripada terik matahari.
Warga emas, golongan dewasa, remaja, kanak-kanak malah bayi juga dilihat berada di kawasan itu sebelum masuk ke dalam stadium untuk penilaian risiko.
#Astro Awani
#Kanak-kanak
#Kajang
#bayi
#warga asing
#COVID-19
#sesak nafas
#Klinik kesihatan
#petugas barisan hadapan
#Kluster tempat kerja
#jangkitan
#CAC
#pusat penilaian COVID-19
#pandemik