Couple seat: 'Hendak tengok wayang atau beromen?' - Mufti Perak
Wan Syamsul Amly
Julai 21, 2015 16:01 MYT
Julai 21, 2015 16:01 MYT
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mahu operasi panggung wayang dikaji semula kerana ia merupakan satu bentuk maksiat yang merosakkan akidah umat Islam.
Tegasnya, pemberian lesen untuk premis panggung wayang juga harus dipertimbang dan diambil perhatian semua majlis perbandaran.
"Panggung wayang itu sendiri sudah maksiat, apakah lagi duduk di kerusi bersama itu menggalakkan orang untuk buat maksiat di dalam panggung.
"Sepatutnya tidak perlu diberi lesen, mereka bukan hendak tengok wayang tetapi mahu beromen di dalam itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Harussani mengulas larangan menggunakan kerusi berkembar atau 'couple seat' bagi pasangan bukan mahram yang tidak mempunyai ikatan sah kepada kaki wayang di sekitar Seri Iskandar oleh pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS).
Ia dikatakan usaha untuk membendung gejala sosial di kalangan generasi muda.
Notis tersebut adalah arahan daripada pihak pengurusan pawagam atas nasihat daripada Majlis Daerah Perak Tengah dan telah mula berkuatkuasa sejak pawagam tersebut mula beroperasi sejak dua tahun lalu.
Jelas Harussani, pihak pencegah maksiat juga harus mengambil perhatian isu ini dan melihat tumpuan operasi bukan sahaja di wayang malah banyak lagi lokasi berlainan.
"Pihak pencegahan maksiat perlu lihat bukan sahaja wayang, di mana-mana pun kalau mereka belum kahwin dan duduk berdua-duaan, tangkap sahajalah," katanya.
Katanya lagi, mana-mana kemudahan yang dilihat baik namun membawa maksiat tidak harus digunakan atau dipromosi kepada orang ramai.
"Harus ganti dengan kemudahan lain, cara lain. Pihak berkuasa juga wajib melihat isu itu secara serius dan jadi penggalak maksiat kepada umat Islam terutamanya.
"Kita beria-ria habiskan wang untuk tujuan dakwah namun pihak kita sendiri yang galakkan maksiat.
"Sudahlah wayang pun tunjuk cerita beromen, orang yang tengok ini pun hendak beromen di kerusi masing-masing, saya tidak faham kenapa ini semua terjadi," ujarnya.
Sebelum ini, pendakwah bebas Datuk Md Daud Che Ngah berkata umat Islam di negara ini perlu menghormati garis panduan berhibur Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa memberi persepsi buruk kepada agensi itu berhubung takrifan dalam isu berkenaan.
Tegasnya, hiburan itu sendiri boleh ditafsir perkara yang melalaikan namun tidak ditegah dalam agama seandainya mengikut peraturan yang sudah digariskan.
Pendapat itu disokong Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU) Dr Fathul Bari Mat Jahya yang mahu garis panduan Jakim mengenai hiburan segera difatwakan.
Tegasnya, garis panduan itu jelas berlandaskan kepada perspektif Islam yang asal.
Jakim sebelum ini menggariskan panduan antara lain peraturan mengasingkan antara lelaki dan perempuan dalam kalangan penonton.
Malah, pengasingan tersebut turut melibatkan persembahan pentas.
Jakim juga menetapkan lawak jenaka yang disampaikan artis hendaklah tidak melampaui batas sehingga membawa kepada ketawa melampau.