Corong 'sewer' Stesen Janakuasa Janamanjung terbakar 20 peratus

Abd Razak Mohd Ali, Aida Aziz
Mei 6, 2022 05:34 MYT
Menurut jurucakap bomba, pemadaman dilakukan di tingkat tiga menerusi lubang corong 'sewer'. - Foto JBPM Perak
MANJUNG: Corong 'sewer' di Stesen Janakuasa Janamanjung di sini, yang terbakar sejak petang Khamis berjaya dipadamkan sepenuhnya lewat malam tadi.
Corong yang mengandungi bahan plastik di dalamnya, terbakar sebanyak 20 peratus.
Bagaimanapun, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, insiden kebakaran itu tidak membabitkan mangsa dan struktur.
"Pihak bomba terima panggilan pada jam 6.31 petang Khamis dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung dengan bantuan BBP Sitiawan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan 'sewer' yang mengandungi bahan-bahan plastik di dalam.
"Kekuatan anggota yang terlibat dalam operasi ini seramai 15 orang iaitu masing-masing dari BBP Sitiawan dan Zon Manjung," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata, operasi pemadaman dijalankan secara terus ke dalam corong 'sewer' berkenaan.
Katanya, proses memadam kebakaran di 'sewer' mengambil masa lama memandangkan bahan yang terbakar itu sukar untuk dipadam dalam masa singkat.
"Pasukan pemadam menggunakan satu aliran 300 kaki dua pancutan dengan sumber air dari 'pressurise hydrant'.
"Pemadaman dilakukan di tingkat tiga menerusi lubang corong 'sewer'," tambahnya.
Operasi yang diketuai sendiri Ketua BBP Sitiawan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azizi Zakaria, tamat sepenuhnya jam 1 pagi ini.
#Stesen Janakuasa Janamanjung #kebakaran #bahan plastik #SEWER
;