Corak khas pesawat A320 AirAsia bagi mempromosikan Johor Bahru
Bernama
Februari 24, 2017 23:21 MYT
Februari 24, 2017 23:21 MYT
Kumpulan Greenland sedang mempromosikan pembangunan pesat di Johor Bahru sebagai fokus gaya hidup dan pelancongan melalui corak warna khas ke atas sebuah pesawat Airbus A320 AirAsia.
Ia memaparkan logo serta warna hijau dan putih Kumpulan Greenland untuk selama dua tahun mulai hari ini.
Pesawat A320 itu akan digunakan untuk penerbangan Johor Bahru-Guangzhou (China) bagi perjalanan sehala serta di rangkaian AirAsia yang lain.
Pengurus Greenland Malaysia Du FuGen berkata sebagai salah satu pemaju bersepadu China yang terkemuka, adalah menjadi perkara biasa bagi kumpulan itu untuk melihat kepentingan memupuk dan mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara.
"Kami percaya bersama-sama dengan AirAsia dan melalui laluan terusnya ke Guangzhou, kami dapat mempromosikan Johor Bahru sebagai peneraju dalam industri utama dan hab pelancongan, perdagangan termasuk pelaburan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran corak khas itu di Lapangan Terbangan Antarabangsa Senai di sini hari ini.
Untuk rakyat negeri Johor, Kumpulan Greenland bukan entiti yang asing, memandangkan syarikat itu terbabit dalam pembangunan Jade Palace yang berprestij di Danga Bay.
Ia juga memajukan Helios Cove, sebuah projek perbandaran bersepadu yang merangkumi tanah seluas 128 ekar di kawasan Tebrau, sepanjang Selat Johor.
Sementara itu, Ketua Komersil AirAsia Bhd Spencer Lee, berkata melalui perkongsian dengan Greenland, syarikat penerbangan tersebut berharap untuk menarik lebih banyak pelanggan, tetamu serta peneraju utama dari China bagi "membangunkan Johor Bahru secara bersama-sama".
"Penerbangan terus kami dari Senai ke Guangzhou telah membantu meningkatkan kerjasama antara Johor Bahru dan Guangzhou. Ini terkait dengan perkembangan berterusan dalam Iskandar Malaysia, yang telah menyebabkan permintaan untuk penerbangan antara Johor dan bahagian China itu wujud," katanya.
Ini adalah kali pertama AirAsia bekerjasama dengan pemaju hartanah bagi memperkenalkan corak khas itu.
AirAsia membuat penerbangan dari Senai ke Guangzhou, empat kali seminggu.
-- BERNAMA