COP29: Malaysia bakal jadi hab utama pelaburan hijau, pacu pertumbuhan mampan

Astro Awani
November 20, 2024 17:10 MYT
NGA KOR MING: Melalui COP29, Malaysia bertekad untuk menjadi hab utama pelaburan hijau dengan mempromosikan dasar-dasar yang menyokong dan memupuk kerjasama strategik untuk memacu pertumbuhan mampan. -Astro AWANI
BAKU: Malaysia berhasrat untuk menjadi hab utama bagi pelaburan hijau dalam usaha memacu pertumbuhan mampan, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Ringkasan AI
  • Malaysia berhasrat menjadi hab utama pelaburan hijau untuk memacu pertumbuhan mampan, dengan mempromosikan dasar-dasar yang menyokong kerjasama strategik.
  • Malaysia menyokong Deklarasi Laluan Tindakan Multisektoral (MAP) untuk Bandar Berdaya Tahan dan Sihat, serta sedang menyediakan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (NUP3) yang mengintegrasikan strategi berasaskan iklim.
  • Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan akan mengintegrasikan ciri reka bentuk berdaya tahan iklim dalam projek perumahan mampu milik dan membina serta menaik taraf sekurang-kurangnya 100 taman awam setiap tahun.

Dalam kenyataannya pada Mesyuarat Menteri Urbanisasi dan Perubahan Iklim di Persidangan Perubahan Iklim (COP 29) di Azerbaijan hari ini, Nga turut menyeru komuniti global untuk merealisasikan idea kepada tindakan.
“Melalui COP29, Malaysia bertekad untuk menjadi hab utama pelaburan hijau dengan mempromosikan dasar-dasar yang menyokong dan memupuk kerjasama strategik untuk memacu pertumbuhan mampan.
“Kita tidak akan dikenang atas apa yang kita katakan, tetapi atas apa yang telah kita lakukan dan tinggalkan untuk generasi akan datang.
“Kita tidak boleh mengubah masa lalu, tetapi secara kolektif, kita boleh menentukan masa depan. Jadi, mari kita lakukan bersama-sama,” kata Nga.
Rumah mampu milik akan dilengkapi rekaan tahan iklim - Nga Kor Ming
Beliau menekankan bahawa skala cabaran iklim di kawasan bandar memerlukan tindakan yang lebih intensif dan sokongan kewangan yang lebih besar, dengan hanya 27% Sumbangan yang Ditetapkan di Peringkat Nasional (NDC) di seluruh dunia kini merangkumi strategi urbanisasi yang komprehensif.
Di samping itu, Nga menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap Deklarasi Laluan Tindakan Multisektoral (MAP) untuk Bandar Berdaya Tahan dan Sihat.
“Fokus MAP dalam memupuk kerjasama multisektoral amat penting untuk menangani cabaran kompleks yang dibawa oleh perubahan iklim, terutamanya di kawasan bandar di mana kesan ini paling ketara,” katanya.
“Malah, MAP selari dengan keutamaan nasional kami seperti Garis Panduan Perancangan Bandar Rendah Karbon dan Tahan Perubahan Iklim yang dipelopori oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan,” tambahnya.
Nga turut menegaskan komitmen Malaysia dalam menyusun Dasar Perbandaran Negara Ketiga (NUP3), yang akan mengintegrasikan strategi berasaskan iklim untuk menangani cabaran urbanisasi.
“Kami kini sedang menyediakan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (NUP3) untuk pembangunan yang inklusif dan seimbang, yang menekankan kepada penciptaan bandar yang bukan sahaja berdaya ekonomi tetapi juga sesuai didiami dan mampan,” katanya.
Nga juga berkongsi bahawa kementeriannya sedang mengintegrasikan ciri reka bentuk berdaya tahan iklim ke dalam projek perumahan mampu milik untuk memastikan golongan miskin bandar tidak ketinggalan dalam peralihan kepada bandar yang lebih hijau.
“Selain itu, kami berhasrat untuk membina dan menaik taraf sekurang-kurangnya 100 taman awam setiap tahun bagi memperkukuh penyelesaian berasaskan alam semula jadi,” tambahnya.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan adalah sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Persidangan Pihak ke-29 (COP29) Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), dengan fokus menangani cabaran perubahan iklim di tengah-tengah urbanisasi pesat.
#Nga Kor Ming #hab utama #pelaburan hijau #COP29
;