COP28: Kewangan iklim jadi halangan terbesar buat negara membangun - Nga Kor Ming
Astro Awani
Disember 6, 2023 16:13 MYT
Disember 6, 2023 16:13 MYT
DUBAI: Ketelusan penyaluran kewangan iklim menjadi halangan terbesar untuk negara membangun untuk mencapai inisiatif mitigasi dan adaptasi perubahan iklim
Justeru Malaysia menyeru komitmen global untuk membantu dana negara yang rentan dan merangka peralihan tenaga boleh diperbaharui.
Berucap pada mesyuarat menteri perbandaran dan perubahan iklim di Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) di Dubai, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menekankan keperluan untuk bertindak segera menghadapi krisis iklim yang semakin meruncing.
"Kita hanya mempunyai satu pilihan di hadapan kita - urbanisasi mampan dan masa depan hijau. Untuk masa ini, kita harus bertindak bersama untuk melindungi cara hidup kita dan mengurangkan bencana iklim," kata Kor Ming.
“Malaysia komited untuk mengurangkan pelepsan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030 dan mencapai emisi bersih pada tahun 2050.
“Untuk itu, Dasar Tenaga Kebangsaan 2040 dan Aspirasi Negara Rendah Karbon menjadi pemacu transformasi ke arah tenaga yang adil dan inklusif," katanya lagi.
Persidangan COP28 pada Rabu memberi tumpuan kepada isu perbandaran dan perubahan iklim.
Kor Ming dijadual mengadakan beberapa siri mesyuarat bilateral selain menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman di antara Masdar City dan Prima Corporation Malaysia, juga perjanjian persefahaman (MoU) di antara UN-Habitat dan Urbanice.
COP28 yang berlangsung hingga 12 Disember di Dubai Expo City telah menyaksikan penyertaan lebih 85,000 orang daripada pelbagai peringkat.