COP28 harus serius tangani kesan iklim, alam sekitar di Gaza - Nik Nazmi

Astro Awani
Disember 3, 2023 15:20 MYT
NIK NAZMI: Penindasan Israel terhadap penduduk Palestin menyebabkan kedaifan daya tahan iklim untuk rakyat Palestin kerana sekatan kepada sumber asas seperti air dan penggunaan tanah. -Bernama
DUBAI: Malaysia menegaskan Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) yang sedang berlangsung sepatutnya serius untuk menangani kesan iklim dan alam sekitar serangan Israel ke atas Gaza
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bahawa selain daripada krisis kemanusiaan yang mengorbankan 15,000 orang sejak Oktober, serangan Israel ke atas wilayah Palestin juga merosakkan alam sekitar.
Zionis Israel dilaporkan telah menyerang Gaza dengan anggaran 40,000 tan bahan letupan.
Ia hampir empat kali ganda berat gabungan bom nuklear AS yang dijatuhkan ke atas Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada tahun 1945.
"Tahap serangan yang luar biasa ini tanpa ragu-ragu memberikan impak yang menghancurkan pada alam sekitar," kata Nik Nazmi ketika ditemu bual Arab News di COP28
Bagi ratusan ribu rakyat Gaza yang dipindahkan, pencemaran toksik daripada bahan letupan yang membuat udara tercemar dan air tidak boleh diminum.
"Dunia tidak boleh mengabaikan apa yang berlaku di Gaza - sama ada dari segi kemanusiaan atau keadilan iklim.
"Penindasan Israel terhadap penduduk Palestin menyebabkan kedaifan daya tahan iklim untuk rakyat Palestin kerana sekatan kepada sumber asas seperti air dan penggunaan tanah," kata Nik Nazmi.
Untuk rekod, jumlah air yang boleh diakses setiap hari oleh rakyat Palestin adalah jumlah yang Organisasi Kesihatan Sedunia syorkan sebagai minimum dalam zon bencana.
"Ini adalah ketidakadilan iklim yang besar. Penduduk Gaza menghadapi krisis iklim yang lebih teruk dengan kehilangan tanah akibat kenaikan paras laut, ketiadaan akses yang teruk kepada air bersih untuk rakyat Palestin, kekurangan sanitasi, impak ke atas keselamatan makanan ... semua ini memperburuk impak konflik yang berpanjangan," katanya lagi.
Pemimpin politik dan perniagaan dari hampir 200 negara berkumpul di Dubai sehingga 12 Disember depan untuk mesyuarat tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang bertujuan untuk menangani beberapa isu yang paling mendesak berkaitan dengan pemanasan global dan krisis iklim.
Semasa pemimpin dunia sedang berbincang tentang isu-isu tersebut, Presiden Turki, Tayyip Erdogan, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, dan Raja Jordan, Abdullah II, telah menyatakan bahawa perbincangan mengenai perubahan iklim sepatutnya tidak mengecualikan topik serangan berterusan Israel ke atas Gaza.
#Nik Nazmi #COP28 #AGA #Gaza
;