COP26: Perjalanan bermula dari Glasgow ke Pahang - Tengku Hassanal
Astro Awani
November 6, 2021 14:47 MYT
November 6, 2021 14:47 MYT
KUALA LUMPUR: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar semua pihak bekerja keras serta dengan lebih pantas untuk menyelamatkan alam sekitar.
Tengku Hassanal menerusi akaun Instagram miliknya pada Sabtu berkongsi foto ketika menghadiri Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, Scotland.
“Ia bukan tentang apa yang berlaku di COP26, namun apa yang berlaku selepas ini lebih penting. Perjalanannya bermula dari Glasgow ke Pahang.
“Mesej saya kepada rakyat Pahang tersayang, saya akan pulang untuk anda. Kita perlu bekerja dengan lebih keras, lebih pantas dan secara tepat untuk menyelamatkan alam sekitar,” kata Tengku Hassanal.
Tengku Hassanal juga berharap negeri Pahang boleh menjadi contoh kepada seluruh dunia.
Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa Malaysia akan memetarai Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global yang baru dilancarkan di COP26.
Tuan Ibrahim bakal mengetuai delegasi negara bagi menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi COP26 dan menyampaikan kenyataan negara di persidangan tersebut pada 9 hingga 10 November.