"Convergence" pasaran buruh melalui pembangunan wilayah
Chakrin Utit
April 9, 2021 15:23 MYT
April 9, 2021 15:23 MYT
Ketidakseimbangan antara kekosongan jawatan dan pencari kerja mengikut negeri di Malaysia bukan lagi suatu isu baharu kerana ia berkait rapat dengan faktor pertumbuhan ekonomi di negeri yang berkenaan.
Berdasarkan analisis yang dilakukan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA) melalui laporan ‘Quarterly Labour Market Perspectives – Modest Labour Market Recovery’, jumlah kekosongan jawatan yang diminta oleh industri lebih berpusat di negeri membangun dengan taburan perindustrian (termasuk perkhidmatan) tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Secara keseluruhannya, negeri-negeri ini merekod sekitar 69.3 peratus daripada kekosongan jawatan pada sukuan keempat 2020.
Daripada sudut pencarian kerja, negeri-negeri ini cuma merekodkan 51.1 peratus jumlah pencari kerja dalam tempoh masa yang sama.
Wujud jurang antara taburan kekosongan jawatan (permintaan) dan pencari kerja (penawaran).
Rajah berikut memberikan gambaran terhadap situasi ini:
Pada ketika ekonomi negara berada dalam keadaan normal - tiada penularan wabak dan tiada sekatan pergerakan, situasi ini tidaklah menjadi suatu isu yang besar kerana jurang tersebut dapat diisi oleh tenaga buruh daripada negeri-negeri lain.
Sebaliknya, dalam keadaan membendung penularan wabak, pergerakan tenaga buruh antara negeri terbatas.
Perlu difahami bahawa ketidakseimbangan di antara taburan permintaan dan penawaran buruh bukan isu baharu.
Ketidakseimbangan ini wujud apabila wujud ketidakseimbangan pembangunan ekonomi di antara wilayah dan negeri. Isu ini menjadi keterlihatan apabila negara dilanda wabak COVID-19.
Pembaharuan ekonomi pasca COVID-19 perlu mengambil langkah proaktif dalam memastikan “convergence” pembangunan ekonomi di antara wilayah dan negeri berlaku.
“Convergence” pembangunan ekonomi ini akan secara langsung dan tidak langsung membantu “convergence” dalam taburan permintaan dan penawaran buruh.
Keadaan ini juga membantu mengurangkan kos pentadbiran dan ekonomi jika negara berhadapan dengan jangkitan wabak di masa akan datang.
Untuk tujuan itu, usaha mengenal pasti kemampuan dan kelebihan setiap industri di wilayah dan negeri perlu dipergiat.
Pembangunan industri-industri yang mempunya nilai pengganda dan rantaian penjanaan buruh yang tinggi perlu diberi keutamaan.
Dengan pengenalpastian industri sasaran, pendekatan seterusnya yang perlu diberikan perhatian adalah pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri berkenaan.
Jaringan perniagaan antara PKS dan firma besar juga perlu digalakkan agar PKS akan dapat menyerap teknologi baharu bagi membolehkan mereka menerokai aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi.
* Dr. Chakrin Utit merupakan Penyelidik Bersekutu Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI
#Pasaran buruh
#pembangunan wilayah
#kekosongan jawatan
#negeri membangun
#tenaga buruh
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS