Contohi polisi bayaran balik Prasarana - 4PAM
Bernama
November 2, 2016 12:38 MYT
November 2, 2016 12:38 MYT
Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) mencadangkan penyedia pengangkutan awam lain menerima pakai dasar yang sama seperti diamalkan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) untuk membuat bayaran balik kepada penumpang yang mengalami kelewatan.
Presidennya Ajit Johl menyifatkan pengumuman baru-baru ini yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri di Dewan Rakyat pada 31 Okt lepas sebagai langkah positif bagi pengguna pengangkutan awam.
"Kami mahu ia menjadi amalan standard oleh semua penyedia pengangkutan awam. Pengusaha bas, sama ada antara bandar atau bas ekspres, pengusaha teksi dan semua pengendali tren seharusnya mempunyai polisi ini dan mekanisme mudah untuk membuat bayaran balik," kata beliau dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, Prasarana harus mengkaji semula syarat yang ditetapkan - iaitu hak tuntutan itu terbatal dengan sendirinya jika pengguna masih meneruskan perjalanan dengan menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) atau KL Monorel.
Nancy dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) di Dewan Rakyat berkata polisi yang diamalkan Prasarana adalah sekiranya berlaku kelewatan yang melebihi 15 minit, pengguna mempunyai hak untuk menuntut kembali tambang yang dibayar atau mendapatkan kupon sebagai tiket ganti untuk perjalanan pada keesokan harinya.
Polisi sama akan diguna pakai untuk laluan Mass Rapid Transit (MRT) yang bakal dikendalikan Prasarana, dijangka beroperasi hujung tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Johl mengalu-alukan semakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) berkuat kuasa 1 Jan, 2017, seperti yang diumumkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 31 Okt. -- Bernama