'Contohi pengorbanan Nabi Ibrahim' - Syaikh Ismail

Wan Syamsul Amly
September 24, 2015 11:31 MYT
SYAIKH ISMAIL: 'Contohi pengorbanan Nabi Ibrahim' - Gambar fail
Umat Islam di negara ini diseru sentiasa ikhlas dalam kehidupan dan mencontohi sejarah pengorbanan yang dibuat Nabi Ibrahim.
Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, ia merupakan ikon pengorbanan yang harus dicontohi setiap mukmin.
"Apalah gunanya kita berbangga dengan sirah hebat pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat, jika kita hanya berpeluk tubuh dan melihat sahaja tanpa menghulur sebarang sumbangan membangunkan Islam?
"Sewajarnya, kisah indah itu mampu meruntun jiwa kita untuk turut mengorbankan sebahagian harta demi membuktikan keimanan dengan melaksanakan ibadah korban sebagaimana yang disyariatkan," katanya semasa menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk 'Berkorban apa sahaja' di Masjid Negara di sini hari ini.
Seawal usia muda Nabi Ibrahim, baginda telah berkecamuk konflik antara pemikiran rohaninya yang suci dengan situasi masyarakat disekelilingnya pada masa itu yang bertuhankan patung-patung berhala yang mereka sembah.
Nabi Ibrahim pada masa itu tidak dapat menerima keadaan itu dan baginda telah memusnah dan menghancurkan semua berhala itu termasuk juga patung berhala sembahan bapanya sendiri.
Akibat tindakan tersebut, baginda telah dibakar oleh Raja Namrud dalam api yang menyala dengan maraknya namun baginda selamat tanpa cedera.
Ia merupakan bukti ketaatan dan ketaqwaan serta penyerahan diri yang tinggi Nabi Ibrahim yang cukup yakin dan percaya dengan kekuasaan dan keagungan Allah sehingga sanggup berkorban jiwa raga demi cintanya kepada Allah.
Malah, ujian yang paling besar yang diterima oleh baginda ialah ketika diperintah untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail AS yang begitu lama didoakan dan dinanti kelahirannya.
Dalam pada itu kata Sheikh Ismail pengorbanan wang ringgit, harta, tenaga, buah fikiran serta masa perlu dilakukan tanpa rasa terbeban dan terpaksa.
Jelasnya lagi, merupakan suatu kenikmatan dan kemanisan dalam proses penghambaan kepada Allah.
"Bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi keistimewaan ini termasuk juga Iduladha pada hari ini. Selain menghayati sambutan Idul Adha bagi kita yang berada di tanah air ini.
"Hari ini juga sebahagian saudara-saudara kita dapat menyempurnakan pelaksanaan ibadat Haji di Tanah Suci. Semoga segala pengorbanan dan kepayahan yang mereka lalui sepanjang menunaikan ibadat haji diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT dengan dikurniakan 'Haji Mabrur'," jelasnya.
Ujar Syaikh Ismail, keikhlasan dalam melakukan pengorbanan akan dihiasi dengan perasaan senang hati, jiwa yang bahagia serta hati yang tenteram.
Katanya lagi, Hari Raya Korban juga merujuk kepada tuntutan berkorban yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam.
Dalam pada itu jelasnya, gabungan sejarah pengorbanan dan tuntutan melaksanakan ibadah korban mampu memberi kesan rohani yang begitu besar dan mendalam pada jiwa insan yang menghayatinya.
Oleh itu tegasnya, umat Islam perlu membawa pengertian dan makna perjuangan dan pengorbanan kepada realiti semasa negara.
Hari Raya Aidiladha 1436 Hijrah disambut warga kota dalam konsep kesederhanaan dalam pengertian menghayati pengorbanan seperti yang dituntut ajaran Islam.
Sekitar 10,000 penghuni kota bersama-sama menyertai solat sunat Aidiladha di Masjid Negara yang bermula sekitar 8.30 pagi tadi.
#Aidiladha #Masjid Negara #nabi ibrahim
;