Contohi PBSM wujudkan inisiatif koordinasi berpusat untuk program kemanusiaan

Israr Khalid
Disember 24, 2021 12:16 MYT
Koordinasi berpusat melalui MATCH Hub dapat mengelakkan pertindihan program dan bantuan, contohnya kepada mangsa banjir. - Facebook BSMM Negeri Selangor
KUALA LUMPUR: Perlu ada sistem koordinasi berpusat untuk sebarang usaha kemanusiaan agar gerak kerja bantuan kecemasan dan pemulihan lebih tersusun dan menepati sasaran.
Inisiatif sedemikian diambil Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) bersama Yayasan Hasanah, menerusi Malaysian Humanitarian Coordination and Action Hub (MATCH Hub).
Ia merupakan sebuah pusat gerakan yang mengumpulkan dana, aset dan sukarelawan yang sedia bertindak pada bila-bila masa dengan sistematik.
Menurut Setiausaha Agung PBSM Hakim Hamzah, keperluan koodinasi yang baik disedari tatkala melandanya pandemik COVID-19 awal tahun lepas.
Ia bagi mengumpulkan segala maklumat daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) di dalam satu pangkalan data.
“Jadi, apabila segala aktiviti sudah didaftarkan di KitaMATCH, kita boleh tahu di kawasan mana setiap NGO atau badan di luar sana mengadakan program.
“Kita boleh mengelakkan pertindihan program dan pertindihan bantuan. Boleh tahu juga di mana kawasan yang belum mendapatkan bantuan,” katanya.
Koordinasi melalui MATCH Hub juga melibatkan badan-badan korporat yang sedia menyumbangkan dana untuk program-program yang dirancang.
Dengan inisiatif ini, badan-badan terlibat mendapat manfaat dari segi perolehan dana dan juga kumpulan sukarelawan yang lebih besar.
Malah, sukarelawan juga boleh memilih apa sahaja aktiviti yang ingin mereka sertai.
“Melalui satu platform koordinasi yang berpusat, kita akan lebih tersusun dan teratur dalam program bantuan yang kita berikan.”
Tonton temu bual bersama Hakim dalam program Dialog Tiga Penjuru yang dihoskan Dzulfitri Yusop pada Khamis, di sini:
Contohi PBSM wujudkan inisiatif koordinasi berpusat untuk program kemanusiaan
Dialog Tiga Penjuru: Banjir | Tragedi, malapetaka dan birokrasi
#banjir #PBSM #program kemanusiaan #koordinasi berpusat #MATCH Hub
;