Contohi Indonesia perkasa budaya
Dagang News
April 9, 2022 12:50 MYT
April 9, 2022 12:50 MYT
SUDAH sampai masa kita akui kehebatan dasar-dasar yang memperkasakan seni dan budaya.
Manfaat dilihat pada pembangunan sosio-ekonomi terutamanya melalui sektor pelancongan, sumbangan ekonomi jingga untuk merancakkan kegiatan usahawan sektor budaya serta bidang-bidang berkaitan.
Lebih penting lagi, seni dan budaya memberi kekuatan jati diri serta keharmonian bersama dalam masyarakat.
Dapat dilihat juga, aspek ini menyemarakkan kreativiti dan kekuatan mental dalam anak muda generasi hadapan apabila mempunyai pendedahan pada dunia seni, budaya dan kreatif.
Pada tahun 2020, kita berbangga bahawa pantun berjaya dimasukkan dalam kategori Senarai `Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan’ Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), secara pencalonan bersama oleh Malaysia dan Indonesia.
Perhubungan baik para sasterawan Malaysia dan Indonesia selama beberapa tahun, seperti Prof Emeritus Muhammad dan Prof Teti Pudentia dari Asosiasi Tradisi Lisan Indonesia (dan Kementerian Kebudayaan kedua-dua negara) membuka jalan memastikan bahawa pantun diberi pengiktirafan bersama kepada kedua-dua negara oleh UNESCO.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, telah mengatakan bahawa pengiktirafan itu amat bermakna kerana buat pertama kalinya Malaysia berjaya mengangkat warisan negara ke pengiktirafan UNESCO bersama negara lain, dengan upacara wangkang dicalonkan bersama China, manakala pantun dicalonkan bersama Indonesia.
Ini telah menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara negara yang tersenarai di bawah Senarai Wakil kepada lima iaitu kali pertama pada tahun 2005 menerusi pengiktirafan mak yong, dondang sayang (2018) dan silat (2019) dan kini wangkang dan pantun (2020).
Di negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand, industri jingga (kreatif, seni dan budaya) adalah pemacu ekonomi yang sangat tinggi, merupakan penyumbang KDNK sebanyak 5% hingga 7%.
Kita perlu bergerak seiring dari pihak kementerian, agensi kerajaan dan pengusaha seni dan budaya memacu ekonomi jingga supaya menyumbang lebih dari 2% kepada ekonomi Negara.
Kementerian Pendidikan juga memainkan peranan penting memperkasa seni dan budaya dalam kalangan pelajar semua peringkat dari tadika ke universiti dalam kesusasteraan, seni visual, muzik tradisional, persembahan budaya teater dan tarian dan bermacam-macam lagi.
Di Indonesia, dari pihak tadbir urus negara hingga pengusaha kecil budaya, mereka begitu serius dalam mempertahankan budaya.
Beberapa tahun yang lampau, Pak Kipar, seorang penarik beca yang membawa saya ke sana ke mari seluruh pelosok bandar Jogjakarta dan beliau membuka mata saya pada keindahan Jogja di waktu pagi, melalui jalan batu kecil di celah kawasan vila indah serta menikmati keindahan pandangan Gunung Merapi.
Pak Kipar sentiasa berkongsi kisah-kisah di Jogja, cintanya pada budaya dan tempat asalnya sangat murni.
Pak Kipar menunjukkan saya kedai karya perak, kedai seni lukisan, batik dan wayang kulit terbaik.
Ketika kami tiba di House of Puppet Masters di pekarangan Kraton Jogjakarta, terdapat ceramah wayang kulit sedang berlangsung, dihadiri tetamu dari Afrika dan Jepun.
Saya dapat mendengar lebih baik ketika kami masuk, dan terkejut ceramah itu dikendalikan dalam bahasa Perancis dan Jepun.
Rupa-rupanya, House of Puppet Masters ini berazam memperkenalkan Wayang Kulit dalam seberapa banyak bahasa yang mungkin.
Pak Ari kemudian keluar untuk menyambut kami, dan kami pun berbual.
"Di Jogja, budaya adalah falsafah terpenting untuk semua," kata Pak Ari.
“Budaya mendahului segalanya. Dengan budaya, kita menguatkan jati diri, identiti.
"Budaya adalah pengikat, payung yang menyatukan kami semua.
"Jika kita tidak bersatu hati dan mempunyai kekuatan jati diri, bagaimana kita hendak melakukan apa-apa?"
“Agama kita mungkin berlainan, tetapi budaya adalah kepunyaan kita semua.”
Perbualan ini membawa saya kembali pada keadaan kita di Malaysia.
Jika kita boleh berterus-terang, kita dapat lihat bahawa defisit seni dan budaya melemahkan identiti kebangsaan kita semua.
Anak Malaysia rata-rata, tidak mengenali gamelan, tarian zapin, asyik atau keindahan Mek Mulung, malah Makyung, kesenian kita yang diberi pengiktirafan UNESCO.
Mereka tidak kenal hikayat mahupun cerita rakyat lama seperti Cik Siti Wan Kembang, mahupun Puteri Santubong atau Malim Deman.
Belajar dari kesilapan itu satu perkara yang mulia. Mungkin kita telah tersalah haluan di zaman lampau.
Pertumbuhan ekonomi pesat telah mencetuskan budaya mengejar wang ringgit semata-mata. Kekuatan seni dan budaya negara agak terkesan.
Untuk memimpin Malaysia di persada dunia, perlu ada jati diri dan identiti yang kuat.
Dan kita lihat kesedaran ini semakin timbul dalam kalangan pemimpin yang mengutamakan bahasa, budaya dan menyemarakkan sikap membaca.
Kerjasama dan persefahaman serantau juga penting untuk kebaikan bersama.
Formula kejayaan memperkasa pantun di tahap UNESCO pada tahun 2020 boleh digunakan dalam isu memperkasa bahasa Melayu di persada antarabangsa.
Kerjasama ahli akademik, kementerian, jabatan dan agensi, serta sasterawan dan budayawan yang bertanggungjawab dalam hal budaya hingga ke peringkat tertinggi membawa kebaikan menyeluruh.
Kurikulum di sekolah kebangsaan menjadi tempat yang baik untuk bermula. Warisan budaya dan nilai-nilai teras perlu dalam anak-anak kita. Seni dan budaya adalah sama penting dengan sejarah dan bahasa.
Pada masa yang sama, mempromosikan Mandarin dan Tamil sebagai pilihan elektif di sekolah kebangsaan adalah langkah bijak.
Kepentingan Jawi membuka kunci beribu-ribu manuskrip Melayu di Malaysia dan di muzium dan perpustakaan terkenal di lebih daripada 60 buah negara di seluruh dunia.
Defisit budaya boleh diperbaiki oleh generasi pemimpin yang memperkasa nilai teras yang dapat membina komuniti yang harmoni dan budaya yang moden, tanpa mengorbankan identiti.
Untuk ini, saya mencadangkan transformasi yang berpaksikan budaya, warisan, dan seni kreatif untuk mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang mampan.
Defisit budaya mungkin memerlukan transformasi budaya seperti yang ditunjukkan pada tahun 1848 di seluruh Eropah, 20 tahun kemudian di Jepun, keajaiban ekonomi Han Han Korea 60 tahun yang lalu dan lonjakan ekonomi pasca insiden Tienanmen di China.
Visi 2030 boleh menjadi rangka kerja yang dapat dipertingkatkan untuk mencapai matlamat ini.
Melalui ini, kita akan membawa keharmonian kembali ke dalam kehidupan kita terutama anak-anak kita.
Merangkul budaya yang menekankan pembinaan negara melalui kebersamaan untuk melestarikan semula seni dan budaya negara.
Perkasakan warisan beratus tahun yang dipenuhi dengan nilai murni, ilmu dan kearifan budaya tempatan kita sebagai aspirasi.
Barulah kita boleh membina negara yang hebat dan bertamadun.
* Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : ninotaziz@gmail.com
** Artikel asal disiarkan di Dagang News
*** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.