Concorde Hotel KL tidak dijual - Sallehuddin

Astro Awani
September 11, 2024 19:59 MYT
Concorde Hotel KL kekal fokus untuk meningkatkan perkhidmatan dan tawaran untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan. - Sumber foto Concorde Hotel
KUALA LUMPUR: Concorde Hotel Kuala Lumpur komited sepenuhnya terhadap operasi dan legasinya yang berterusan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Ampang Hotel Sdn Bhd, Tan Sri Sallehuddin Mohamed, sebagai reaksi balas terhadap laporan yang mengatakan hotel tersebut akan dijual dengan harga hampir RM700 juta.
“Concorde Hotel Kuala Lumpur terus berkembang maju atas usaha pasukan kami yang berdedikasi dan tetamu yang setia.
“Perniagaan kami menunjukkan prestasi yang sangat baik dan kami melihat hasil yang kukuh. Pemegang saham kami berpuas hati dengan kemajuan kami dan hala tuju yang kami ambil,”katanya.
Jelasnya lagi, pihaknya kekal fokus untuk meningkatkan perkhidmatan dan tawaran untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
Mereka juga menghargai sokongan berterusan dan mengalu-alukan kehadiran tetamu untuk tahun-tahun akan datang.
Minggu lalu, media melaporkan hotel empat bintang dengan 581 bilik di Jalan Sultan Ismail itu dijangka dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan bersepadu bernilai berbilion ringgit.
#Concorde Hotel KL #Concorde Hotel KL tidak dijual #Ampang Hotel Sdn Bhd #Sallehuddin Mohamed
;