COMWEL cadang 30 peratus kerusi Parlimen dan DUN untuk calon wanita
Bernama
Mac 8, 2021 04:00 MYT
Mac 8, 2021 04:00 MYT
KLANG: Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan 30 peratus kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang juga pengasas dan presiden COMWEL, berkata majlis itu juga akan memperjuangkan perwakilan 30 peratus untuk wanita dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mana-mana kepimpinan lain serta kedudukan membuat keputusan.
"COMWEL akan menghantar cadangan ini kepada Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam masa terdekat," katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran COMWEL di sini semalam.
Menurut Zuraida, hanya 84 wanita telah dipilih sebagai Ahli Parlimen sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
"Selepas PRU14, kita hanya mempunyai 33 Ahli Parlimen wanita iaitu 14.86 peratus daripada jumlah 222 Ahli Parlimen.
"Kekurangan wakil wanita dalam Parlimen turut dikongsi oleh rakan kami dari negara jiran seperti Indonesia (20.3 peratus), Thailand (lima peratus), Filipina (28 peratus), Kemboja (20 peratus) dan 11.3 peratus di Myanmar," katanya.
Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, yang menyempurnakan majlis pelancaran COMWEL, berkata jumlah wakil wanita di Malaysia boleh ditambah baik dengan iltizam politik daripada semua parti politik.
COMWEL ditubuhkan bagi menghimpunkan kepemimpinan wanita Malaysia dalam memperjuangkan agenda pemberdayaan wanita dan pengarusperdanaan gender secara bersistematik dan holistik.
Majlis itu dianggotai oleh pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang politik, agama dan bangsa.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Dewan Rakyat
#PRU14
#PRU
#wanita
#politik
#kerajaan
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#Filipina
#Myanmar
#Thailand
#Zuraida Kamaruddin