Common Sense @AWANI: Zafrul dengar suara anak muda

Astro Awani
Oktober 24, 2021 19:13 MYT
Pada pertemuan selama satu jam itu, kumpulan anak muda ini diberi ruang menyuarakan hasrat dan harapan mereka terhadap Bajet 2022 secara terus kepada Zafrul. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Bajet 2022, bajet berpaksikan rakyat dan golongan muda.
Itu jaminan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menutup tirai pertemuan bersama 20 anak muda daripada pelabagai latar belakang di bawah inisiatif Common Sense @AWANI (CSA) anjuran Astro AWANI.
Pada pertemuan selama satu jam itu, kumpulan anak muda ini diberi ruang menyuarakan hasrat dan harapan mereka terhadap Bajet 2022 secara terus kepada Zafrul.
Isu gaji minimum, percukaian, bantuan sara hidup, Undi 18 sehingga kepada usaha melahirkan pakar untuk penyakit jarang jumpa turut disuarakan.
Setiap persoalan dijawab secara jelas oleh Zafrul dengan jaminan pertimbangan untuk disertakan dalam Bajet 2022.
“Kita sudah lakuan banyak perkara (di bawah Bajet 2021) dan sudah tentu banyak lagi boleh kita lakukan (di bawah Bajet 2022) dan kita harap melalui sesi seperti ini, kita dapat mendengar sendiri apa yang boleh kita lakukan lagi untuk rakyat dan setiap segmen masyarakat.
“Kita mahu lakukan penyesuaian massa kerana apabila kita bercakap kepada belia, apakah cabaran mereka.. apabila kita bercakap kepada PKS apakah cabaran mereka.. kita bercakap bersama OKU dan pelbagai segmen lagi yang mempunyai cabaran berbeza,” katanya dalam sesi tersebut.
Zafrul turut menekankan usaha pemuihan ekonomi kali ini amat mencabar dan tidak sekata susualan pembukaan ekonomi secara berperingkat.
“Kita perlu akui pemulihan ini akan tidak sekata. Sesetengah sektor akan buka lebih cepat, sesetengah sektor akan pulih lebih cepat. Jadi kita cuba merapatkan jurang ini ketika tempoh pemuihan ini,” katanya.
Sesi libat urus yang kali pertama diadakan oleh Astro AWANI bersama Menteri Kewangan ini akan disiarkan di Astro AWANI pada Ahad, 8.30 malam serta semua platform media sosial kami.
#Belia #Tengku Zafrul Abdul Aziz #bajet 2022 #common sense awani
;