COMANGO ajak ISMA berdialog
T K Letchumy Tamboo
Februari 19, 2014 14:15 MYT
Februari 19, 2014 14:15 MYT
Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) hari ini menawarkan peluang kepada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) serta kumpulan-kumpulan yang sering mengkritik COMANGO dan laporannya kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), untuk berdialog bersama.
ISMA sebelum ini menggesa tindakan tegas diambil terhadap COMANGO kerana tuntutan kumpulan itu dianggap bertentangan dengan ajaran Islam dan akan menjejaskan akidah Islam.
ISMA mendakwa laporan itu menyebut bahawa golongan minoriti seperti kumpulan sesat Syiah dan golongan LGBT tidak mendapat layanan sebaiknya dalam masyarakat dan ia mendesak agar Syiah dan LGBT diberikan hak kebebasan mengamalkan budaya sesat dan songsang itu.
ISMA juga menggesa orang Islam untuk bertindak ‘agresif’ untuk mempertahankan agama.
Jurucakap COMANGO, Honey Tan berkata daripada membuat ancaman ugutan dan keganasan melalui media, gabungan tersebut mengalu-alukan sesi dialog bersama.
“Kami mengalu-alukan dialog dengan ISMA dan pihak lain yang ingin memahami laporan COMANGO serta mereka mempunyai apa-apa pertanyaan dan kurang jelas mengenai laporan itu.
“Kami ingin bertemu dan mengadakan dialog yang bermakna,” katanya semasa satu sidang media hari ini.
Honey turut mempertahankan laporan tersebut dengan mengatakan bahawa ia tidak pernah berpendirian golongan LGBT diberikan hak kebebasan mengamalkan budaya sesat dan songsang itu.
“Dalam laporan kami , kami tidak bercakap mengenai hubungan seks yang sama atau 'seks songsang' (seks luar tabii)," katanya.
"Kami hanya berkata keganasan terhadap sesiapapun tidak boleh diterima, termasuk masyarakat LGBT.
"Ini selaras dengan Islam, kerana Islam juga tidak suka keganasan."
Honey berkata menggesa orang Islam untuk bertindak ‘agresif’ adalah suatu ugutan jenayah.
“Kami sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ISMA walaupun itu adalah pilihan terakhir kami,” katanya.
Pada tahun lepas, ISMA melancarkan kempen ‘Sejuta Ummah Tolak COMANGO’ untuk membantah segala tuntutannya.
Selain itu, ISMA juga telah mengadakan lebih 15 ceramah ‘Kempen Selamatkan Ummah’ di seluruh negara termasuk di beberapa buah institut pengajian tinggi awam sejak awal November tahun lalu untuk membantah tuntutan COMANGO.
COMANGO merupakan teras kepada gagasan NGO hak asasi manusia yang menghantar laporan kepada PBB untuk melobi negara-negara dunia bagi menekan Malaysia agar menerima tuntutan mereka di Geneva.