Coldplay belanja RM3.2 juta dalam inisiatif bersihkan sungai Malaysia

Astro Awani
April 3, 2021 16:10 MYT
Coldplay dilapor menyumbang RM3.2 juta bagi New Moon 1, Interceptor 005, yang bakal mula operasi di Malaysia pada pertengahan tahun ini. - Foto The Ocean Cleanup
TATKALA pandemik COVID-19 masih menular di negara ini, sukar untuk para peminat hiburan menikmati acara persembahan muzik secara langsung dan fizikal.
Begitupun, halangan itu tidak menjarakkan hubungan antara pengkarya dan penyambutnya, termasuklah apabila melibatkan sesuatu inisiatif besar daripada selebriti itu sendiri demi tujuan tertentu.
Contoh yang paling ketara dan dekat dengan rakyat Malaysia ketika ini adalah inisiatif yang dilakukan kumpulan muzik Coldplay dari Britain. Sokongan dan sumbangan mereka ternyata lebih daripada sekadar siri konsert jelajah yang pernah didambakan peminatnya.
Kumpulan itu mengumumkan kerjasama mereka dengan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dari Belanda, The Ocean Cleanup, dalam usaha mencegah sampah dan pencemaran daripada masuk ke laut.
Sekian lama menjadikan kelestarian alam sebagai inisiatif utama mereka, Coldplay mengambil keputusan menaja mesin memerangkap sampah sungai “Interceptor 005” yang bakal digunakan di Malaysia.
Malaysia adalah negara pertama yang akan menerima Interceptor 005.
Agensi antarabangsa melaporkan, Coldplay menyumbang AS$777,000 (RM3.2 juta) bagi jentera tersebut.
Ia kini dalam proses pembinaan di Klang dengan kerjasama firma Finland, Konecranes.
Interceptor adalah sebuah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sehari sampah terapung yang dibuang ke dalam sungai sebelum sampai ke laut.
Direka khas untuk membendung pencemaran di 1,000 sungai paling tercemar di dunia, Interceptor 005 adalah salah satu daripada dua unit yang dihasilkan dalam siri rekaan generasi ketiga teknologi ini.
Turut dikenali sebagai New Moon 1, Interceptor 005 akan terus beroperasi sejurus selepas ia siap dibina menjelang pertengahan tahun ini.
Sejak 2019, The Ocean Cleanup telah mengumumkan inisiatif Interceptor untuk saluran air tercemar di pelbagai negara seluruh dunia termasuk Indonesia, Republik Dominica, Vietnam, Amerika Syarikat, Jamaica dan Thailand.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Coldplay #kelestarian alam #bersih sungai #COVID-19 #The Ocean Cleanup #Interceptor 005 #alam sekitar #pencemaran
;