Co-opbank Pertama dinobat koperasi terbaik negara 2020

Astro Awani
Januari 17, 2021 04:26 MYT
Kata Mohd Nor, bagi menghadapi cabaran perniagaan 2021, CBP akan berusaha dengan lebih sistematik bagi memastikan kelestarian prestasi CBP dapat diteruskan. - Foto Twitter/@bernamaradio
KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) dipilih sebagai koperasi terbaik di seluruh negara, sekali gus mencatatkan pencapaian membanggakan sejak penubuhannya pada tahun 1950.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd. Razak berkata, pengiktirafan tertinggi berkenaan diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berdasarkan kecemerlangan dalam urus tadbir dan peningkatan prestasi yang direkodkan institusi kewangan itu.
Jelasnya, pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Profil 100 Koperasi Terbaik anjuran SKM, baru-baru ini.
"Untuk rekod, pencapaian terbaik CBP sebelum ini adalah menduduki tempat ketiga pada tahun 2018. Sebagai co-opbank syariah terunggul di Malaysia, kami akan terus komited bagi menjadikan CBP sebagai suatu jenama korporat yang dikenali dan diterima ramai.
"Pengiktirafan usaha ini penting bagi membuktikan CBP berada pada landasan yang tepat dalam memantapkan efisiensi menerusi urus tadbir yang cekap dan sistematik.
"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SKM, Anggota Lembaga, Anggota CBP serta warga kerja CBP di atas kepercayaan serta usaha yang dicurahkan selama ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Katanya, transformasi budaya kerja kakitangan CBP turut menjadi faktor penyumbang kepada pencapaian itu.
"Perubahan terhadap budaya kerja yang menitikberatkan semangat kecemerlangan dan semangat bekerja dalam pasukan juga menjadi penyumbang kepada pencapaian ini.
"Konsep ini selaras dengan pegangan gagasan koperasi yang bergerak seramai mungkin secara bersama-sama bagi membolehkan pembaharuan dan kecemerlangan berlaku,” katanya.
Tambah Mohd Nor, bagi menghadapi cabaran perniagaan 2021, CBP akan berusaha dengan lebih sistematik bagi memastikan kelestarian prestasi CBP dapat diteruskan.
"Selain itu, CBP juga menumpukan usaha dengan lebih agresif untuk meningkatkan perniagaan produk Ar-Rahnu dengan membuka lebih banyak cawangan bagi menarik lebih ramai pelanggan berpotensi.
"CBP juga mensasarkan pembukaan lebih daripada 20 cawangan Ar Rahnu bagi tempoh dua tahun sehingga 2022," jelasnya.
CBP kini mempunyai 28 cawangan dengan keahlian seramai 91,500 orang di seluruh negara.
#SKM #Medac #usahawan #CBP #syariah #Ar Rahnu
;