Co-opbank bekerjasama dengan PolicyStreet tawar takaful dalam talian

Bernama
Ogos 21, 2023 22:05 MYT
Khairil Anuar berkata perkhidmatan yang ditawarkan adalah salah satu inisiatif CBP bagi memudahkan urusan anggota dan pelanggan CBP. - Gambar fail/CBP
KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) kini berkerjasama dengan syarikat penyedia platform digital, PolicyStreet untuk menawarkan perkhidmatan pembelian dan memperbaharui takaful kenderaan serta cukai jalan secara dalam talian bagi meluaskan lagi capaian sasaran pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata perkhidmatan yang ditawarkan adalah salah satu inisiatif CBP bagi memudahkan urusan anggota dan pelanggan CBP.
"Kini anggota dan pelanggan tidak perlu hadir ke cawangan untuk menyelesaikan urusan berkenaan, sebaliknya boleh melakukannya secara dalam talian dan menunggu cukai jalan mereka dihantar ke rumah.
"Melalui perkhidmatan pembaharuan takaful kenderaan dalam talian ini juga, pelanggan dapat membandingkan harga dan manfaat yang disediakan pelbagai pengendali takaful dan memilih pakej yang terbaik untuk mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pelanggan-pelanggan CBP hanya perlu melayari tapak web CBP atau mengimbas kod QR yang terdapat di dalam risalah produk takaful kenderaan untuk melakukan transaksi pembelian sehingga selesai.
"Ini juga merupakan strategi CBP untuk menawarkan produk secara digital kepada segmen pasaran yang terdiri daripada generasi muda yang mesra teknologi.
"CBP turut merancang untuk menambah beberapa lagi produk dan perkhidmatan berasaskan fi kepada para anggota dan pelanggan secara digital di masa akan datang mengikut keperluan masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
#platform digital #dalam talian #sasaran pelanaggan #pengendali takaful
;