CNY: Polis tumpu tiga lokasi 'hotspot' kemalangan di Alor Setar
Adie Sufian Zulkefli
Januari 20, 2023 09:45 MYT
Januari 20, 2023 09:45 MYT
ALOR SETAR: Polis tingkatkan pemantauan di tiga lokasi ’hotspot’ yang sering berlaku kemalangan jalan raya dan kesesakan terutama ketika musim perayaan sepanjang Op Selamat 19/23 sempena Tahun Baharu Cina (CNY) kali ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lokasi berkenaan adalah Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Alor Setar-Kangar dan Jalan Kuala Kedah di sini.
“Ini merupakan lokasi sering berlaku kemalangan dan banyak kenderaan seperti Jalan Alor Setar-Kangar iaitu laluan utama ke Perlis.
“Kita gerakkan semua kekuatan polis trafik Kota Setar dan anggota lain ke kawasan ini. Fokus kita adalah untuk memastikan kelancaran jalan raya.
"Dan kita letakkan anggota di simpang jalan bagi mengelakkan daripada berlaku kesesakan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad Shukri berkata, polis menjangkakan berlaku kesesakan ekoran perantau akan pulang ke kampung halaman di daerah ini sepanjang cuti perayaan CNY itu.
“Kita sasarkan rumah selamat dan selamat sampai ke destinasi, iaitu serampang dua mata, sempena cuti panjang ini.
“Ramai perantau yang akan balik dan tinggalkan rumah di tempat mereka bekerja. Kita akan pastikan keselamatan mereka di jalan raya dan mereka akan selamat sampai ke destinasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, polis juga akan mempertingkatkan rondaan di premis perniagaan untuk mencegah kegiatan jenayah termasuk pecah masuk ketika cuti panjang tersebut.