CMCF sahut saranan tangani penyalahgunaan AI dengan pengawalseliaan
Kenyataan Media
Jun 6, 2024 14:29 MYT
Jun 6, 2024 14:29 MYT
KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menyokong sepenuhnya cadangan terkini yang dibuat oleh Derek John Fernandez dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai kepentingan mengambil langkah-langkah pengawalseliaan untuk memantau penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penciptaan dan penyebaran kandungan.
Derek Fernandez telah menekankan bahawa undang-undang kawal selia ini perlu disegerakan bagi membendung penyalahgunaan teknologi AI, seperti deepfake, yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Beliau menegaskan keperluan untuk kerangka pengawalseliaan yang mewajibkan pendedahan jelas apabila imej atau video dihasilkan oleh AI bagi menghalang penyebaran maklumat palsu dan melindungi individu daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
CMCF menyokong saranan ini kerana ia selari dengan misinya untuk menyokong pengawalseliaan kendiri kandungan dalam ruang digital Malaysia seperti yang digariskan dalam Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia 2022 (Kod).
Kod ini menekankan kepentingan ketelusan dan sudah menjadikan syarat bagi pempengaruh mendedahkan sekiranya kandungan yang dicipta adalah untuk tujuan pengiklanan.
Memastikan prinsipprinsip ini juga merangkumi kandungan yang dihasilkan oleh AI akan mengukuhkan lagi kepercayaan pengguna dan melindungi masyarakat daripada kandungan yang mengelirukan.
Pengerusi CMCF, Rafiq Razali, menekankan tanggungjawab kolektif dalam memastikan penggunaan AI yang selamat dalam penciptaan kandungan, dengan menyatakan, "AI mempunyai potensi besar untuk merevolusikan industri kandungan, mendorong kreativiti dan kecekapan ke tahap yang belum pernah tercapai sebelumnya.
Namun, potensi ini mesti diuruskan dengan pertimbangan yang teliti.
Adalah penting untuk penggubal undang-undang, penyedia perkhidmatan AI, pengawal selia, dan pencipta kandungan bekerjasama secara kolaboratif untuk memperuntukkan sumber yang mencukupi dan memastikan teknologi ini digunakan dengan bertanggungjawab.
Mengutamakan keselamatan pengguna dan mengekalkan integriti kandungan digital adalah penting untuk mewujudkan persekitaran kandungan yang boleh dipercayai."
Melihat kepada contoh beberapa insiden baru-baru ini di mana video deepfake yang menampilkan tokoh awam terkenal menjadi tular, menyebabkan kekeliruan meluas dalam kalangan masyarakat, dan kes-kes di mana kandungan yang dihasilkan oleh AI telah digunakan untuk menipu orang ramai dengan kandungan yang sangat meyakinkan.
Insiden-insiden ini adalah peringatan jelas betapa mudahnya AI boleh disalahgunakan untuk memanipulasi maklumat dan menipu orang awam.
Dengan melaksanakan peraturan seperti mewajibkan pendedahan maklumat bahawa sesuatu kandungan dihasilkan oleh AI, risiko ini dapat dikurangkan dan masyarakat dapat dilindungi daripada penipuan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF Mediha Mahmood, berkata, "Ketika Internet pertama kali diperkenalkan, kita tidak dapat menjangkakan pelbagai cabaran yang bakal timbul, dari buli siber hingga ke penyebaran maklumat palsu.
"Isu-isu seperti ini terus berkembang dan Malaysia tetap komited untuk menanganinya melalui undang-undang dan pengawalseliaan yang berkesan.
"Kini kita berada di ambang penerimaan AI yang meluas, adalah penting bagi kita belajar dari pengalaman lalu.
"Mencegah potensi penyalahgunaan melalui pengawalseliaan yang cepat dan berkesan bukan sahaja langkah yang bijak—ia adalah mustahak."
CMCF yakin bahawa dengan mengambil langkah-langkah proaktif, semua pihak boleh memanfaatkan sepenuhnya transformasi AI sambil mengekalkan landskap digital yang selamat dan terjamin.
Semua pihak berkepentingan dalam ekosistem kandungan digital disarankan untuk bekerjasama dalam membangunkan kerangka pengawalseliaan yang kukuh yang melindungi kepentingan pengguna dan mempromosikan inovasi.