CMCF bangunkan buku panduan pempengaruh
Bernama
Februari 7, 2024 19:51 MYT
Februari 7, 2024 19:51 MYT
KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sedang membangunkan 'Buku Panduan Pempengaruh' dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk para pempengaruh dan pemimpin pendapat utama atau key opinion leaders (KOL).
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF Mediha Mahmood berkata buku panduan itu akan menjadi garis panduan ringkas sebagai rujukan mudah bagi pempengaruh mendapatkan penjelasan dan pemahaman terhadap peraturan yang termaktub dalam Kod Kandungan.
"Melalui penglibatan aktif pempengaruh dalam pembikinan buku panduan ini, kami berazam untuk menerbitkan satu sumber rujukan yang selari dengan keperluan mereka dan memudahkan pematuhan terhadap garis panduan beretika," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata CMCF menyasarkan untuk melancarkan permohonan ulasan (RFC) pada separuh kedua tahun ini daripada pempengaruh untuk memastikan pandangan mereka menjadi teras dalam penghasilan dokumen yang komprehensif dan mudah difahami kelak.
"Dalam membuat dasar, tonggak falsafah kami ialah keterlibatan pelbagai pihak yang berkepentingan. Kami percaya bahawa mereka yang terkesan dengan polisi harus mempunyai suara dalam pembikinannya.
"Justeru kami membuka pintu seluas-luasnya kepada pempengaruh dan pemegang taruh untuk menyertai CMCF dalam menyumbang buah fikiran dalam perbincangan dasar dan termaklum dengan amalan terbaik," katanya.
Mengulas mengenai gesaan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya pempengaruh mengamalkan kawal selia kendiri dan menerbitkan kandungan secara bertanggungjawab, Mediha berkata saranan itu amat baik dan selaras dengan kepentingan untuk menerapkan amalan beretika dan berhemah dalam menghasilkan sebarang kandungan.
Beliau berkata pengawalseliaan kendiri adalah tunjang utama di CMCF dan selari dengan keadaan semasa di seluruh dunia yang menyaksikan industri dan komuniti diberi kepercayaan dan diperkasakan untuk mengawal selia amalan masing-masing berdasarkan piawaian ditetapkan.
"Dengan Kod Kandungan sebagai tonggak, kami melaksanakan mekanisme akauntabiliti yang mantap, melibatkan Biro Aduan, bagi memastikan pemain industri patuh pada dasar yang telah dipersetujui dan ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu Mediha turut menyarankan usaha sama antara pelbagai pihak bagi pembangunan rangka kerja yang lengkap dan pelan tindakan kebangsaan yang merangkumi tindakan undang-undang, kempen kesedaran dan kerjasama dengan syarikat teknologi bagi memperkukuh Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian di Malaysia.
"Kami percaya bahawa pendekatan melibatkan pemegang taruh yang pelbagai termasuklah ibu bapa, pendidik dan kanak-kanak adalah mustahak dalam mencipta rangka kerja yang terangkum dan berkesan," katanya.
-- BERNAMA