Clare, dua pihak lain fitnah Sultanah Terengganu tetap kena bayar RM300,000

Sinar Harian
September 10, 2024 15:45 MYT
Pada 12 Disember 2023, Mahkamah Rayuan mengarahkan Clare dan dua pihak lain, membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Terengganu itu kerana memfitnah.
PUTRAJAYA: Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua pihak lain yang memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku bertajuk, ‘The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose’ kekal diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kerana memfitnah Sultanah Terengganu itu.
Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tan Sri P Nallini memutuskan demikian selepas sebulat suara menolak permohonan tiga pihak terbabit di sini pada Selasa
Sebelum ini mereka memohon untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap perintah Mahkamah Rayuan di sini berhubung keputusan kes saman fitnah terbabit.
Ketika memutuskan demikian, Nallini berkata, persoalan undang-undang yang dibangkitkan gagal melepasi `ambang' yang diperuntukan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan kebenaran merayu diberikan.
Beliau berkata, isu tersebut bukan melibatkan kepentingan awam atau baharu pertama kali dibangkitkan yang memerlukan ia diputuskan oleh mahkamah.
Hakim itu berkata, penulisan Clare tidak memberi imuniti kepadanya, kerana ia melibatkan fitnah Nur Zahirah selaku responden.
“Fakta bahawa responden merupakan kerabat diraja bukan satu halangan kepada baginda untuk mengemukakan tuntutan saman dan dilayan sama rata seperti orang awam.
“Latar belakangnya tidak patut menjadi pertikaian kerana semua pihak sama di sisi undang-undang,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Jika mahkamah membenarkan Clare dan dua pihak itu untuk merayu, beliau berkata, prospek bahawa permohonan itu akan memihak kepada mereka selaku pemohon, adalah tipis.
Pada prosiding itu, peguam, Americk Singh Sidhu berhujah bagi pihak Clare dan dua yang lain sementara responden oleh peguam, A Vishnu Kumar.
Pada 12 Disember 2023, Mahkamah Rayuan di sini mengarahkan Clare dan dua pihak lain, membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Terengganu itu kerana memfitnah.
Dua lagi pihak ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd.
Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 21 November 2018, dengan mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud Sultanah Terengganu terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.
Selain itu, Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sultanah Terengganu mendakwa kenyataan itu bermakna Sultanah Terengganu ini membantu Jho Low menjadi penasihat TIA.
Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah meminta ganti rugi am RM100 juta daripada setiap responden dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan. - Sinar Harian
#Clare Rewcastle-Brown #1MDB #keputusan mahkamah #kes fitnah
;