City U, LZS santuni 110 pelajar asnaf sempena Ramadan
Astro Awani
Mac 30, 2024 15:44 MYT
Mac 30, 2024 15:44 MYT
KUALA LUMPUR: City University Malaysia (City U) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni 110 pelajar asnaf dalam dalam usaha berkongsi rezeki pada bulan Ramadan ini menerusi Majlis Iftar City University Malaysia 2024, baru-baru ini.
Pengarah Urusan City U, Datin Rohaidah Shaari berkata, kerjasama bersama agensi itu dilihat mampu memperkukuh institusi pendidikan negara dalam melahirkan generasi muda bagi keperluan industri pada masa depan.
Menurut beliau, ini kerana program tanggungjawab sosial yang dijalankan itu dapat memastikan bahawa pelaburan dalam bentuk kerjasama sosial dapat dimanfaatkan melalui pendidikan.
“Harapan saya agar kerjasama ini bukan hanya sekadar bantuan kewangan, tetapi juga merupakan pelaburan jangka masa panjang untuk generasi muda dalam melahirkan generasi dari dunia pendidikan tinggi.
“Justeru pada masa sama, City University Malaysia komited untuk memperkukuh kemudahan pembelajaran dan perkhidmatan sokongan bagi para pelajarnya.
"Ini termasuk fasiliti yang lebih komprehensif dalam merancakkan aktiviti kampus dan jugaprogram sokongan mentorship yang bertujuan membimbing pelajar dalam setiap langkah perjalanan pendidikan mereka," katanya di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Majlis Iftar City University Malaysia 2024 turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pendakwah selebriti, PU Rahmat sebagai penyampai tausiah.
Majlis itu juga bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah City U di mana seramai 410 orang staff daripada kampus di seluruh negara hadir bagi memeriahkan itu.
Mengulas lanjut, Rohaidah yang juga pengasas City U memberitahu, universiti swasta yang ditubuh sejak lebih 40 lalu itu aktif sejak awal Ramadan lalu dalam menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan seperti rumah kebajikan, rumah tahfiz, rumah anak-anak yatim di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Kata beliau, ia dianjurkam melalui Program Tanggungjawab Sosial anjuran Fakulti Industri Kreatif apabila seramai 60 orang anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Fatimah Yaakub telah menerima bantuan kewangan serta barangan keperluan harian.
“Usaha tahunan seperti ini merupakan antara pendekatan City University Malaysia untuk berkongsi rezeki bersama masyarakat di bulan Ramadan yang penuh berkat ini,” katanya