Citrawarna Keluarga Malaysia diteruskan dengan SOP lebih ketat - Nancy
Astro Awani
Februari 21, 2022 17:49 MYT
Februari 21, 2022 17:49 MYT
KUCHING: Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 27 Februari depan di Kuching, akan diteruskan dengan penguatkuasaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, SOP untuk pelaksanaan program tersebut telah diteliti semula dan akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa.
Jelas Nancy, antara SOP yang diperbaharui adalah mengehadkan kapasiti setiap khemah untuk acara utama kepada 350 tetamu sahaja pada satu-satu masa.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi keselamatan yang lain akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan SOP lazim COVID-19 sepanjang program.
"Akan ditutup khemah (sekiranya sudah penuh). Kita ada banyak (khemah), so we fill up all the seven khemah dengan mereka yang dijemput, kita ada ambassador, ada menteri, ada pegawai-pegawai kerajaan maka yang lain itu selagi ada ruang kosong (kita penuhkan) sehingga 350 orang," katanya.
Menyedari akan peningkatan kes yang dialami negara ketika ini, keputusan itu katanya dibuat selepas mempertimbangkan impak berlanjutan yang akan dialami sektor ekonomi khasnya industri pelancongan.
Tambahnya, SOP sedia ada yang diperbaharui telah dibincang dan diperhalusi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) serta dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Nenurut Nancy lagi, dalam situasi ini, masyarakat perlu berkerjasama dan bertanggungjawab dalam memastikan SOP dapat dipatuhi pada tahap tertinggi.
"Kita kena ambil jalan tengah, bagaimana kita hendak menyeimbangkannya, kerana itu we are very careful," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Isnin.
Untuk makluman, Citrawarna Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari itu akan dimeriahkan dengan persembahan meliputi Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
Acara kebudayaan terbesar dalam negara itu akan diadakan di beberapa lokasi antaranya di Waterfront Kuching dan Padang Merdeka dengan anggaran pengunjung seramai 2,400 orang.
Selain itu beberapa acara juga akan diadakan seperti Festival Gendang Sarawak, Konsert Sape, serta persembahan harian Colors of Malaysia.