CITF terima lebih 90,000 permohonan vaksin COVID-19 daripada ibu hamil - Khairy

Astro Awani
Jun 21, 2021 08:29 MYT
Khairy menjelaskan, sebanyak 3,000 janji temu telah dikeluarkan kepada ibu hamil di Kuala Lumpur dan 224 lagi Perlis, pada minggu lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah menerima sebanyak 98,196 permohonan mendapatkan vaksin COVID-19 daripada ibu hamil untuk divaksin.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin memaklumkan, janji temu sedang dikeluarkan secara berperingkat untuk ibu-ibu hamil ini.
Katanya, sebanyak 3,000 janji temu telah dikeluarkan kepada ibu hamil di Kuala Lumpur dan 224 lagi Perlis, pada minggu lepas.
“Kita akan keluarkan lagi janji temu secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD). Negeri-negeri lain sedang diproses dan ia mengikut keutamaan EDD,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), pada Isnin bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan pemberian vaksin Pfizer-BioNTech kepada ibu hamil dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu, dan mereka perlu mendapatkan nasihat doktor serta pakar masing-masing bagi mengetahui risiko daripada proses vaksinasi.
Dalam pada itu, Khairy berkata sebanyak 782 fasiliti kesihatan melibatkan pengamal perubatan swasta telah beroperasi sejak 3 Mei lepas, dengan kemampuan memberikan suntikan sebanyak 93,358 sehari.
“CITF akan terus gunakan khidmat pengamal perubatan swasta untuk usaha vaksinasi, seperti vaksinasi bergerak bersama badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Khairy memaklumkan fasa ketiga PICK yang bermula hari ini di Kuala Lumpur, dilaksanakan selepas mengambil kira 99 peratus warga emas di lokasi tersebut telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Walau bagaimanapun, warga emas akan terus diletak dalam senarai keutamaan untuk suntikan vaksin sebaik mereka berdaftar,” katanya.
Pada Ahad, Khairy berkata fasa ketiga PICK bagi Lembah Klang, akan bermula hari ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara.
#Khairy Jamaluddin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #ibu hamil #vaksin #PPV #PICK #Pusat Pemberian Vaksin #COVID-19 #Pfizer-BioNTech #suntikan #Kementerian Kesihatan