CITF pertimbang keperluan sedia penterjemah, atasi isu kesesakan warga asing di PPV
Faris Danial Razi
Julai 29, 2021 23:10 MYT
Julai 29, 2021 23:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang mempertimbangkan keperluan untuk mengkhususkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk warga asing mengikut bahasa yang digunakan.
Menurut CITF, bagi mempermudahkan proses vaksinasi, pihaknya akan menempatkan penterjemah atau sukarelawan di setiap pusat vaksinasi yang ditetapkan nanti.
Ia susulan daripada kesesakan yang berlaku di PPV di Lembah Klang yang menyaksikan lambakan majoriti warga asing memenuhi kawasan sekitar PPV berkenaan.
“Kesesakan yang dilaporkan di media semalam terjadi apabila sebilangan besar daripada penerima vaksin ini telah hadir tidak mengikut waktu janji temu yang diberikan.
“Ramai yang hadir di waktu pagi, walhal janji temu adalah di waktu petang. Selain itu, kegagalan pekerja asing dalam mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama.
“Setiap pekerja asing memerlukan lebih lima minit untuk mengisi borang dan menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran.
“Terdapat juga jurubahasa yang membantu, tetapi proses tersebut masih memakan masa,” ujar CITF.
Namun, masalah kesesakan itu dilihat terkawal apabila CITF mengambil beberapa langkah segera untuk mengatasi masalah berkenaan.
“Antaranya, CITF telah bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia untuk menyekat perjalanan sebarang kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang.
“Selain itu, CITF juga telah meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran agar kesesakan daripada masalah komunikasi yang telah diterangkan tadi dapat dielakkan.
“Hasil daripada tindakan CITF ini, kesesakan di PPV yang terlibat terutamanya di waktu petang, telah dapat dikurangkan hari ini,” jelas kenyataan itu lagi.
Cetus Keresahan | Ratusan warga asing banjiri PPV KLCC
#PPV
#Pusat Pemberian Vaksin
#Polis Diraja Malaysia
#rakyat Malaysia
#Malaysia
#MySejahtera
#COVID-19
#warga asing
#suntikan
#vaksin
#pekerja asing
#CITF