CITF: Perhatian khusus 7 negeri kadar vaksinasi kurang 55 peratus - Dr Adham
Astro Awani
September 3, 2021 17:53 MYT
September 3, 2021 17:53 MYT
KUALA LUMPUR: Perhatian khusus akan diberikan kepada tujuh negeri iaitu Sabah, Kelantan, Kedah, Johor, Perak, Terengganu dan Pahang yang mempunyai kadar vaksinasi kurang daripada 55 peratus.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba menjelaskan, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) juga akan meningkatkan program jangkauan di negeri terbabit dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jelasnya, kerjasama ATM turut diperlukan dalam aspek penggunaan aset termasuk penghantaran vaksin kepada penduduk pedalaman.
"(Selain itu) Untuk makluman, 17 organisasi telah diberikan kebenaran bagi melaksanakan PPV bergerak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). CITF menyeru agar negeri-negeri terus berhubung dengan organisasi ini yang berpengalaman menjalankan program PPV bergerak.
"Inisiatif vaksinasi secara pandu lalu dan walk-in juga akan terus diperhebatkan dan diperluaskan lagi. Negeri-negeri adalah disaran untuk membuka lebih banyak PPV pandu lalu sekiranya masih terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr Adham dalam pada itu turut menyenaraikan kemas kini terbaharu inisiatif vaksinasi secara walk-in di beberapa negeri setakat 3 September 2021:
1. Sabah: Walk-in dibenarkan untuk individu 18 tahun ke atas.
2. Terengganu: Walk-in dibenarkan di semua PPV Awam dan Integrasi untuk individu 18 tahun ke atas dan pemastautin di Terengganu bermula 5 September 2021.
3. Kelantan: Walk-in dibenarkan untuk individu 40 tahun ke atas, individu dengan komorbiditi, ibu mengandung dan ibu menyusu melalui pratempahan di 09-7743099 dan 09-7742099.
● Pasir Puteh dan Jeli: Dibenarkan di PPV Awam bagi warga emas dan OKU.
● Tumpat: Dibenarkan bagi warga emas, individu dengan komorbiditi dan ibu mengandung.
● Walk-in bagi individu 18 tahun ke atas telah bermula di PPV Guchil, PPV Manik Urai dan Dabong, Klinik Kesihatan Pahi, Dewan UITM Machang serta Dewan Perpaduan Machang.
4. Pahang: Walk-in bersasar kepada warganegara di empat buah daerah:
● Bera: Bermula 4 September 2021.
● Bentong, Lipis dan Cameron Highlands: Bermula 6 September 2021.
5. Perak: Walk-in dibenarkan di semua PPV Awam untuk individu berumur 50 tahun ke atas atau OKU. Vaksinasi untuk individu dengan komorbid (termasuk obesiti) dan ibu mengandung memerlukan tempahan awal.
6. Perlis: Walk-in dibenarkan di PPV Kubang Gajah, Kangar sejak 1 September dengan waktu operasi bermula Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi – 3.00 petang) untuk semua kategori warganegara dan bukan warganegara.
7. Johor: Walk-in dibenarkan di PPV terpilih bergantung kepada daerah masing-masing.
8. Sarawak: Walk-in untuk Sarawak perlu merujuk kepada maklumat terkini dari PPV yang berdekatan. Walk-in bagi pemberian dos 1 akan berakhir pada 6 September 2021.
9. Kedah: Walk-in dibenarkan untuk individu 40 tahun ke atas di daerah Kuala Muda, Yan, Padang Terap dan Bandar Baharu. Walk-in untuk 18 tahun ke atas bagi warganegara dibenarkan di Kota Setar dan Langkawi, sementara bukan warganegara juga dibenarkan di Langkawi.
10. Pulau Pinang: Walk-in dibenarkan bagi warga emas (60 tahun ke atas).
11. Melaka: Walk-in dibenarkan untuk individu 50 tahun ke atas atau OKU di PPV Awam. Walk-in untuk warganegara 18 tahun ke atas bermula 3 September 2021 di PPV Mega (PPV Stadium Hang Jebat dan Stadium Jasin).
Dalam pada itu,Dr Adham turut menyarankan agar sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan vaksin yang diagihkan ke negeri-negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri diperuntukan kepada PPV Industri (PPVIN).
"Ini selari dengan perbincangan di sidang Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini untuk memperhebatkan lagi usaha pemvaksinan pekerja warga negara atau bukan warga negara sama ada di PPVIN statik atau secara jangkauan luar.
"Untuk rekod, antara strategi vaksinasi yang telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah mempercepatkan vaksinasi di negeri-negeri di Pantai Timur dan Johor bagi mengelakkan sebarang masalah sewaktu musim tengkujuh, memastikan peruntukan bekalan vaksin mencukupi untuk diberikan kepada PPV Industri di bawah program PIKAS," ujarnya.