CITF laksana pengharmonian data untuk kemas kini data penerima vaksin - Dr Adham

Bernama
September 11, 2021 19:05 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba menjawab pertanyaan pemberita selepas melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Tunjong hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-9 (CITF) akan melaksanakan pengharmonian data bagi memastikan data penduduk yang sudah divaksin di seluruh negara adalah tepat dan terkini, kata Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata langkah itu dibuat menerusi kerjasama pihaknya dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta MIMOS berikutan data penduduk yang menerima vaksinasi harian di beberapa negeri didapati perlu dikemas kini.
Mengambil Kelantan sebagai contoh paling ketara, Adham berkata menerusi census yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jumlah populasi dewasa yang telah mendaftar untuk menerima vaksin di negeri ini ialah 1.2 juta.
"Kita akan harmonikan data ini kerana semasa kita cari mereka yang berada di Kelantan untuk divaksin, kita dapati bahawa mereka telah diberikan vaksin di negeri-negeri lain.
"CITF akan melakukan pengharmonian data itu, seterusnya kita yakin dapat mencapai pemberian vaksin (imuniti kelompok) pada September di Kelantan," katanya dalam sidang media di pusat pemberian vaksin (PPV) Awam Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Terdahulu Adham melakukan tinjauan bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin di PPV berkenaan.
Rabu lepas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Perumahan Kelantan Dr Izani Husin dilaporkan berkata pihaknya percaya 20 peratus daripada 1.2 juta penduduk Kelantan yang mendaftar berada di perantauan dan sudah menerima vaksin masing-masing.
-- BERNAMA
#CITF #pengharmonian data #vaksin #MOSTI #COVID-19 #Adham Baba #KKM #imunisasi
;