Ciri terbaharu Price Catcher bantu pengguna rancang perbelanjaan
Astro Awani
Mac 19, 2019 05:40 MYT
Mac 19, 2019 05:40 MYT
Aplikasi mudah alih, Price Catcher, yang memaparkan maklumat harga lebih 400 barangan keperluan pengguna, kini dikemaskini dengan ciri-ciri terbaru bagi membantu pengguna merancang perbelanjaan.
Antara ciri terkini yang dibangunkan adalah seperti kemudahan perkongsian maklumat carian harga melalui media sosial dan hebahan mengenai perubahan harga minyak atau maklumat kepenggunaan lain.
Melancarkan kemaskini terbaru aplikasi itu di sini pada Selasa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata maklumat harga di aplikasi itu dikumpulkan lebih 1,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) kementerian secara harian, mingguan dan bulanan.
Antara ciri yang dimiliki aplikasi itu, inisiatif kerajaan sejak November 2017, adalah carian mengikut kategori, lokasi atau perkataan; fungsi mengesan lokasi; perbandingan harga berdasarkan item atau bakul barangan.
Terdapat juga pandu arah ke arah premis pilihan menggunakan aplikasi Waze atau Google Map.
"Price Catcher ini diharap dapat membantu pengguna agar bijak merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan, selain menggalakkan peniaga beretika dan meletakkan harga yang munasabah," kata Saifuddin di KPDNHEP.
Katanya, memandangkan premis perniagaan di sekitar kawasan yang sama menawarkan barang yang sama tetapi pada harga berbeza, aplikasi itu dapat membantu pengguna menjimatkan masa dan kos dalam membuat perbandingan.
"Seterusnya, pengguna dapat merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan," tambahnya.
Saifuddin menyarankan pengguna, termasuk anggota Friends of KPDNHEP (FOK) agar turut berkongsi harga yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna lain seperti harga promosi.
Sementara itu, peniaga digalakkan menggunakan platform Price Catcher untuk menghebahkan promosi yang dibuat.
Maklum balas dan cadangan penambahbaikan boleh dikemukakan melalui emel kepada pricecatcher@kpdnhep.gov.my atau komen melalui laman rasmi media sosial KPDNHEP di Facebook, Instagram dan Twitter.
#Android
#aplikasi
#Google Map
#harga berpatutan
#harga minyak
#iOS
#kemaskini
#KPDNHEP
#media sosial
#menjimatkan masa
#Pegawai Pemantau Harga
#perbandingan harga
#perkongsian maklumat
#Price Catcher
#rancang perbelanjaan
#Saifuddin Nasution Ismail
#waze