Ciri baharu MySejahtera kesan lokasi penyakit berjangkit - Khairy

Bernama
Mei 3, 2022 09:54 MYT
Dengan fungsi terbaharu itu, pengguna boleh melihat kawasan titik panas penyakit selain COVID-19, seperti demam campak, rabies, HFMD dan demam denggi. - Gambar/ Twitter Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Aplikasi MySejahtera kini dikemas kini dengan ciri-ciri baharu bagi mengesan penyakit berjangkit (Infectious Disease Tracker) termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata dengan fungsi terbaharu itu, pengguna boleh melihat kawasan titik panas penyakit selain COVID-19, seperti demam campak, rabies, HFMD dan demam denggi.
"Update terkini MySejahtera memperkenalkan ciri baharu. Boleh tengok penyakit berjangkit seperti HFMD," katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya hari ini.
Beliau turut berkongsi dua tangkap layar kemas kini aplikasi berkenaan.
Sebelum ini Khairy memaklumkan fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19 akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker.
Penjakit berjangkit | MySejahtera perkenal ciri baharu kesan lokasi HFMD
Beliau berkata kawasan berkenaan akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.
BACA: Kes mingguan HFMD di Selangor melebihi paras amaran
Sementara itu Khairy menasihati orang ramai agar terus menggunakan pelitup muka apabila berada di tempat tertutup atau sesak.
-- BERNAMA
#Khairy Jamaluddin #MySejahtera #ciri baharu #penyakit berjangkit #HFMD