Cip AI disekat AS: Malaysia nilai sama ada undang-undang telah dilanggar

Astro Awani
Mac 4, 2025 21:10 MYT
MITI akan terus bekerjasama rapat dengan AS dan Singapura untuk mencari cara yang berkesan bagi menangani isu tersebut. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang mengambil tindakan yang diperlukan untuk menilai sama ada undang-undang Malaysia telah dilanggar dalam penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) yang disekat oleh Amerika Syarikat (AS) dari Singapura ke Malaysia.

Ringkasan AI
  • Malaysia sedang menilai sama ada undang-undang negara dilanggar dalam penghantaran cip AI dari Singapura ke Malaysia yang disekat AS.
  • MITI menegaskan Malaysia mematuhi undang-undang perdagangan antarabangsa dan menentang aktiviti perdagangan haram.
  • Malaysia komited memastikan pelaburan teknologi selaras dengan peraturan antarabangsa dan menyeru syarikat tempatan peka terhadap kawalan eksport negara lain.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, kementerian itu juga akan terus bekerjasama rapat dengan AS dan Singapura untuk mencari cara yang berkesan bagi menangani isu tersebut.
“MITI ingin menegaskan semula bahawa Malaysia mematuhi dan menghormati semua peruntukan undang-undang yang dipersetujui secara multilateral mengenai perdagangan, dan mempunyai sistem yang kukuh untuk memantau dan mengawal eksport, transit, pemindahan semula dan perantara barangan strategik di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010),” kata kementerian itu.
Selain itu, MITI menegaskan bahawa Malaysia tetap teguh menentang mana-mana individu atau syarikat yang cuba mengelak kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti perdagangan haram.
Katanya, pihaknya kekal komited untuk memudahkan perdagangan yang sah dan memupuk destinasi pelaburan yang selamat dan bertanggungjawab.
Dalam masa sama, MITI akan memastikan bahawa semua pelaburan yang berkaitan dengan teknologi selaras dengan amalan terbaik antarabangsa serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang dipersetujui secara multilateral.
Sehubungan itu, kementerian tersebut menasihatkan syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia agar peka terhadap kawalan eksport unilateralisme negara lain yang terpakai kepada aktiviti perniagaan antarabangsa mereka untuk mengelak sekatan tersebut terhadap barangan atau perkhidmatan mereka.
Terdahulu, sebuah portal berita dari Singapura melaporkan cip dibenamkan dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura sebelum dipindahkan ke Malaysia.
Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam dilaporkan berkata pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di negara itu mungkin mengandungi cip AI Nvidia, yang kemudiannya dipindahkan ke Malaysia.
#Amerika Syarikat #NVIDIA #MITI #Malaysia
;