Cinta tidak tidak berbalas punca pembunuhan wanita - Polis

Muhafandi Muhamad
Oktober 13, 2021 18:57 MYT
Choon Foo berkata, punca pembunuhan tersebut didedahkan oleh suspek lelaki itu yang mengakui menyimpan perasaan cinta terhadap mangsa yang berusia 20 tahun lebih tua daripadanya. - Gambar hiasan
GUA MUSANG: Cinta tidak berbalas dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita Thailand yang ditemui mati dalam keadaan separuh bogel di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Berang, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang berjaya menahan suspek berusia 24 tahun sehari selepas penemuan mayat mangsa berusia 44 tahun itu.
Choon Foo berkata, motif pembunuhan tersebut didedahkan oleh suspek lelaki itu yang mengakui menyimpan perasaan cinta terhadap mangsa yang berusia 20 tahun lebih tua daripadanya.
"Hasil siasatan polis mendedahkan bahawa punca pembunuhan berpunca daripada cemburu suspek terhadap mangsa, selepas mangsa tidak menerima cinta yang diluahkan suspek.
"Hasil siasatan pihak polis menunjukkan mangsa telah dibunuh dengan dicekik di sebuah rumah kedai dan mayatnya dibawa ke tempat kejadian dan dibuang di tepi longkang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Choon Foo, polis juga menemui selipar dan beg tangan mangsa di dua tempat berasingan yang dipercayai dibuang suspek bagi menghapuskan bukti.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang Selasa lalu, orang awam menemui mayat mangsa dalam keadaan separuh bogel dalam longkang dipercayai dibunuh.
Sehari selepas penemuan mayat mangsa, polis menahan tujuh sekeluarga majikan wanita terbabit yang berumur 21 hingga 64 tahun di Felda Chiku untuk membantu siasatan.
#Pembunuhan #wanita thailand #cinta tidak berbalas #Gua Musang
;