Cincin tersekat dijari manis, bomba jadi penyelamat gadis
Bernama
November 6, 2015 22:05 MYT
November 6, 2015 22:05 MYT
Gara-gara cincin tersekat di jari manis setelah jarinya membengkak, seorang kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini terpaksa mendapatkan khidmat bomba pada Rabu lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat KLIA Yahya Mohd Sham berkata pihaknya menerima panggilan 4.47 petang daripada rakan wanita itu yang melaporkan jari mangsa sakit dan membengkak.
Beliau berkata bomba mengambil masa hampir 30 minit untuk memotong cincin wanita dalam lingkungan 20-an itu, menggunakan alat khas pemotong wayar.
Katanya siasatan awal pihaknya mendapati wanita tersebut membeli cincin berkenaan beberapa hari sebelum kejadian.
"Namun lama-kelamaan jarinya bengkak dan cincin itu tidak dapat dikeluarkan sendiri. Pada mulanya, dia tidak beritahu rakan sekerjanya namun apabila semakin sakit, dia terpaksa juga maklumkan kepada mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya sepasukan 10 anggota bomba termasuk unit Pasukan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian sebelum dapat memotong cincin berkenaan.