Cincin buatan tersangkut, 20 minit menderita tahan sakit

Ridzal Abdullah
Julai 21, 2021 09:42 MYT
Anggota bomba memotong cincin menggunakan alat pemotong khas bagi mengelakkan kecederaan terhadap mangsa. - Foto JBPM Sabah
LAHAD DATU: Seorang lelaki terpaksa menahan derita hampir 20 minit selepas cincin buatan sendiri tersangkut pada jari manisnya dalam kejadian di Kampung Paris 3, Kota Kinabatangan, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, cincin yang dipakai dikatakan tersangkut selepas jarinya mula membengkak sebelum dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan bantuan segera.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.06 petang.
Menurutnya, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Lahad Datu, keadaan kesihatan mangsa terkawal dan operasi memotong cincin terus dijalankan.
“Anggota bomba memotong cincin berkenaan menggunakan alat pemotong khas bagi mengelakkan kecederaan terhadap mangsa.
“Selepas hampir 20 minit berusaha akhirnya cincin dapat dipotong dan dilepaskan dari jari mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd Affendy, operasi ditamatkan sebaik cincin berjaya dibuka dan mangsa terus mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan.
Dalam pada itu, pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan peka dalam pemakaian cincin.
Katanya, sekiranya terdapat tanda-tanda jari akan membengkak, cincin hendaklah dilepaskan dari jari dengan segera untuk mengelakkan ia tersangkut.
#cincin #jari #bengkak #JBPM #bomba #Lahad Datu #alat pemotong khas #Sabah #Mohd Affendy K Ramin
;