CIMB perkenal polisi kerja dari rumah sempena Hari Wanita
Astro Awani
Mac 9, 2018 14:21 MYT
Mac 9, 2018 14:21 MYT
Sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut 8 Mac, CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) memperkenalkan polisi kerja dari rumah bagi satu hari dalam seminggu khusus buat kakitangan wanita yang sudah mendirikan rumah tangga.
Polisi itu dilaksanakan dalam usaha mengimbangi ekosistem jantina dengan memudahkan golongan wanita terutama yang mempunyai anak kecil berusia lima tahun ke bawah.
Selain membantu para wanita mengekalkan kerjaya mereka, polisi ini dilihat sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 di mana sumbangan tenaga kerja golongan ini sangat diperlukan.
“CIMB melihat pekerja sebagai aset yang paling berharga.
“Polisi yang progresif menunjukkan kesungguhan kami dalam usaha mengimbangi ekosistem jantina selain mengoptimumkan potensi ke arah revolusi industri 4.0,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Datuk Seri Zafrul Aziz.
Sebelum ini, CIMB telah melipat ganda masa dan tenaga bagi memastikan persediaan pekerjanya menghadapi sebarang perubahan dan cabaran pada masa akan datang.
“Kami telah melabur RM108 juta pada 2017 untuk melatih pekerja kami menjadi lebih tangkas dan cepat menangani sebarang perubahan dan cabaran pada masa hadapan.
“Kami percaya dengan polisi baru ini dapat membantu pekerja wanita untuk terus menyumbang tenaga kepada keseimbangan ekosistem jantina di mana akhirnya memberi manfaat kepada CIMB dan pekerja kami,” tambahnya lagi.
Polisi kerja dari rumah dilancarkan pada Khamis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB Datuk Hamidah Naziadin.
Malaysia merupakan pasaran pertama polisi ini diperkenalkan sebelum ia dikembangkan ke pasaran lain.