CIMB Islamic memperkasa WWF-Malaysia, semarakkan semangat lindungi spesies flora

Umar Sadique
Ogos 17, 2022 13:25 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff (kiri), dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim (kanan), melancarkan kerjasama strategik dalam usaha melestarikan alam mencipta inventori botani di Bukit Fraser.
RAUB: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menjalinkan kerjasama strategik bersama WWF-Malaysia dalam usaha pemuliharaan kepelbagaian flora dengan melancarkan projek yang boleh menghasilkan inventori dan katalog spesies tumbuh-tumbuhan yang hidup di Kawasan Hutan Kompleks Bukit Fraser.
Projek yang dilancarkan oleh WWF-Malaysia itu bertujuan untuk meneroka dan menemukan khazanah botani yang mekar di kawasan tersebut. Ia sekali gus melindungi spesies-spesies itu dengan merangka senarai semak komprehensif tumbuhan vaskular untuk tujuan konservasi dan generasi akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, Komitmen ini selari dengan agenda Pelan Tindakan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia yang mengutamakan persediaan sistem kewangan Malaysia ke arah yang lebih mampan dan mesra iklim.
"Kami berharap agar kerjasama bersama WWF-Malaysia akan menyumbang secara positif ke arah penambahbaikan alam sekitar, komuniti tempatan dan ekonomi, sejajar dengan proposisi jenama baharu CIMB Group, ‘Melangkah ke hadapan bersama,’ di samping menyemarakkan semangat Kemerdekaan menjelang Hari Kemerdekaan yang bakal tiba.
“Sejumlah RM443,900 yang telah disumbangkan oleh CIMB Islamic untuk memperjuangkan keselamatan dan perlindungan kompleks Bukit Fraser sebagai taman negeri.
“Ini dicapai melalui produk kami yang bertumpu kepada alam sekitar, iaitu Akaun Simpanan EcoSave-i, di mana CIMB Islamic akan menyumbang sebanyak 0.2 peratus daripada jumlah purata baki portfolio untuk inisiatif yang memfokuskan tujuan hijau dan sosial,” kata Ahmad Shahriman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran kerjasama dengan WWF-Malaysia Fraser’s Hill pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Shahriman juga berharap agar program itu dapat menyebarkan sifat cintakan tumbuh-tumbuhan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindunginya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim menjelaskan bahawa projek tersebut merupakan inisiatif selama tiga tahun, dengan sokongan CIMB Islamic dan Insitusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
“Apa yang kita tidak tahu, kita tidak akan suka, dan apa yang kita tidak suka, kita tidak akan lindung. Oleh itu, usaha ini penting untuk kita membuat kajian botani yang lebih meluas bagi mengenal tumbuh-tumbuhan yang hidup di sekitar ini,” ujarnya.
Program yang disokong oleh CIMB Islamic itu merupakan usaha di bawah naungan Program Konservatif Program Terestrial Semenanjung Malaysia dan akan menyumbang kepada projek ‘Flora Semenanjung Malaysia’ yang dimulakan oleh kerajaan.
CIMB Islamic sentiasa tampil ke hadapan dalam memperjuang inisiatif yang mengutamakan impak positif kepada masyarakat iaitu pemuliharaan alam sekitar, selari dengan pengantaraan berasaskan nilai (VBI).
Dalam usaha untuk terus memangkin semangat kelestarian (sustainability) dalam kalangan masyarakat, Kumpulan CIMB bakal menganjurkan sidang kemuncak ‘The Cooler Earth Sustainability Summit’ pada 20 hingga 24 September dan kemasukan adalah percuma. Peserta yang berminat boleh melayari coolerearth.cimb.comuntuk pendaftaran.
Edisi keempat sidang kemuncak tersebut, di mana WWF-Malaysia turut menjadi rakan kongsi ilmu, akan menghimpunkan para pemimpin, cendekiawan, individu dan ahli perniagaan untuk menggalakkan wacana yang lebih meluas tentang kelestarian dalam membentuk masa depan yang lebih mampan.
#CIMB #hutan kompleks #Bukit Fraser #WWF Malaysia
;