CIMB Islamic Bank bantu golongan asnaf, B40 menerusi Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Enterpreneur Edisi Kedua
Eton Khir
Ogos 22, 2022 18:35 MYT
Ogos 22, 2022 18:35 MYT
KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menjalinkan kerjasama strategik bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Yayasan Belia Malaysia (YBM) dengan melancarkan program iTEKAD CIMB Islamic Rider Enterpreneur bagi edisi kedua menerusi konsep wakaf bertempoh.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata: “Kami menyedari akan kepentingan Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur, di mana ia menyalurkan bantuan geran motosikal dan peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan Foodpanda kepada para peserta yang terdiri daripada komuniti asnaf dan golongan B40, di samping memberi latihan kemahiran keusahawanan demi meningkatkan taraf hidup mereka.”
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejumlah RM300,000 telah disumbangkan oleh CIMB Islamic bersama YWM sebagai dana pemula bagi usaha membantu komuniti asnaf dan golongan asnaf B40 demi menjana punca pendapatan yang lebih stabil dan mampan.
Jelasnya, komitmen itu sejajar dengan matlamat iTEKADyang mengutamakan penggunaan instrumen kewangan sosial Islam seperti wakaf, zakat dan sedekah.
“Kami telah banyak belajar menerusi program kali pertama iaitu dari segi pemantauan dan latih peserta. Di sebalik itu, apa yang paling penting adalah penggunaan konsep Wakaf Muaqqat (iaitu Wakaf Bertempoh) di mana motosikal yang diberi akan dijanakan melalui dana wakaf.
“Dalam pada itu, jika peserta yang telah tamat tempoh latihan selama 12 bulan menunjukkan komitmen yang bagus, kami akan hibahkan motosikal tersebut kepada peserta,” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata demikian selepas Majlis menandatangani perjanjian kerjasama program iTEKAD CIMB Islamic Rider Enterpreneur edisi kedua antara CIMB Islamic, Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Belia Malaysia di Menara CIMB, pada 17 Ogos 2022.
Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwah Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Turut hadir, Pengerusi CIMB Islamic Datuk Mohamed Ross Mohd Din, Pengerusi Yayasan Belia Malaysia Datuk Dr Suhaimi Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia Prof Dr Amir Shaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Belia Malaysia Datuk Mustapa Othman.
Mengulas lanjut, Ahmad Shahriman berkata, setelah tamat tempoh penempatan kerja satu tahun mereka bersama Foodpanda Malaysia, mereka akan diberikan pilihan untuk meneruskan pekerjaan mereka dengan Foodpanda Malaysia ataupun menjadi usahawan sepenuhnya.
“Mereka yang memilih untuk memulakan perniagaan selepas tamat tempoh komitmen selama setahun itu akan mendapat akses kepada program latihan keusahawanan CIMB MicroBiz Ready dengan kemudahan pembiayaan mikrokhas, serta Program Keusahawanan Taylor’s-CIMB Islamic yang menawarkan geran perniagaan.
“Di samping itu, kemudahan perusahaan mikro BNM (MEF) termasuk geran-geran lain, serta pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana yang ditawarkan oleh CIMB Islamic juga tersedia untuk membantu pemilik perniagaan merealisasikan aspirasi keusahawanan mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta yang terlibat dalam program tersebut, Siti Fauziah Osman, suri rumah berusia 42 tahun, berkongsi pengalaman dan meluahkan rasa syukur kerana program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur ini telah banyak membawa perubahan positif terhadap diri dan keluarganya.
“Setelah saya menyertai program ini, pendapatan saya semakin bertambah meskipun secara minimum saya diberikan RM1,000, ia mampu membantu meningkatkan pendapatan saya ke RM2,000 hingga RM3,000. Jadi, serba sedikit ia dapat menampung kehidupan kami sekeluarga selama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pelbagai bebanan yang perlu dibayar. Saya berasa sangat bersyukur kerana program anjuran CIMB Islamic ini memberi sinar baharu kepada kehidupan saya," katanya.
Nordin Karni, 41, bekas pemandu van sekolah pula berkata beliau menyertai program itu setelah hilang punca pendapatan ketika pendemik dan kini menjadikan kerjaya penghantar makanan sebagai sumber pendapatan tetapnya.
“Apabila saya dapat tahu mengenai program ini menerusi aplikasi WhatsApp dan semenjak saya sertai program ni, pendapatan saya menjadi semakin stabil, lebih baik dan kehidupan saya juga teratur, Alhamdullilah, syukur,” katanya.
Sempena Bulan Kemerdekaan dan sejajar dengan proposisi jenama baharu CIMB Group, ‘Melangkah Ke Hadapan Bersama’, CIMB Islamic kekal komited untuk terus menyokong inisiatif iTEKAD anjuran Bank Negara Malaysia bersama-sama rakan programnya dalam usaha untuk memperkasakan ekonomi yang lebih mampan untuk kesemua para peserta.
Ini adalah sejajar dengan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) BNM, di mana hasil shariah yang dihasratkan disalur kepada inisiatif yang menjana impak positif ke arah ekonomi dan masyarakat yang mampan.