Cikgu Fadli dapat tawaran sertai politik selepas umum bersara

Sinar Harian
Februari 8, 2024 12:00 MYT
Cikgu Fadli menafikan akan terjun ke pentas politik, sebaliknya akan meneruskan usaha mendidik anak bangsa menerusi pendekatan tersendiri. - Gambar fail
SHAH ALAM: Bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang tular kerana lantang menyuarakan isu membabitkan sistem pendidikan negara, mengakui mendapat beberapa tawaran menyertai parti politik susulan keputusannya untuk bersara lebih awal.
Tanpa menamakan mana-mana parti, beliau bagaimanapun menafikan akan terjun ke pentas politik, sebaliknya akan meneruskan usaha mendidik anak bangsa menerusi pendekatan tersendiri.
"Ramai orang komen, bila dah bersara ni, masuk politik dan jadi wakil rakyat. Saya nak beritahu, saya memang tak minat politik. Sampai hari ini.
"Walaupun ada tawaran-tawaran untuk suruh sertai parti, jadi pemuda dan sebagainya...nak dicalonkan sebagainya...saya tak nak. Saya memang bukan orang yang minat politik.
"Jadi kalau ada mulut orang-orang politik beritahu Cikgu Fadli... berkaitan politik, tak ada. Saya tak berniat sedikitpun pun untuk jadi menteri pendidikan, wakil rakyat dan sebagainya," katanya ketika sesi siaran langsung di Facebooknya pada Rabu.
Menerusi sesi selama lebih 40 minit bersama ribuan penonton itu, beliau menjelaskan sebab sebenar mengambil keputusan untuk berundur sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Fadli juga memaklumkan masih sayang dengan dunia pendidikan dan mengatur perancangan untuk terus berkhidmat secara maya.
"Cukuplah saya sebagai rakyat biasa, sebagai orang yang cakna tentang isu pendidikan semasa. Rancangan saya selepas bersara, mungkin saya akan perbanyakkan buat buku latih tubi, buat kelas dalam talian, akan live (bersiaran langsung) di Facebook dan Tiktok.
"Sebelum ini saya juga sebagai konsultan unit trust dan sebagai agen pelaburan emas... semua itu akan cover gaji saya yang akan hilang dalam 15 tahun ni," katanya.
Pada masa sama tegas beliau, teguran terhadap sistem pendidikan negara akan terus disuarakan tanpa menyentuh keperibadian mana-mana pihak.
"Jika ada perkara yang lemah, saya akan tegur macam biasa, saya tidak akan menghentam peribadi orang atas perbezaan parti.
"Sepatutnya saya rasa KPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam perlu teliti dan kaji semula pekeliling yang menyekat guru bersuara... mereka hanya nak bersuara jika ada perkara yang salah dan mahu diperbetulkan," katanya.
Selain terkenal kerana kelantangannya bersuara isu pendidikan, Cikgu Fadli juga terkenal sebagai seorang aktivis masyarakat yang banyak menghulurkan bantuan kepada murid miskin dan keluarga memerlukan.
Pada 2022, beliau didakwa dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang kerja kerana menyuarakan isu berkaitan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, waktu belajar dan bilangan murid dalam kelas.
Guru matematik sekolah rendah tersebut mendakwa, perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku memandangkan dirinya tidak pernah terlibat dalam apa-apa masalah disiplin atau dengan ibu bapa pelajar sekolah.
Bagaimanapun, Lembaga Tatatertib KPM memutuskannya tidak bersalah dan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil. - Sinar Harian
#Cikgu Fadli #bersara #tawaran politik #sebab cikgu fadli bersara
;